Lawak Binatang: Di Mana Sensitiviti Pembangkang?

Oleh Ahmad Fahmi

Ketika dunia memandang Malaysia sebagai pemimpin yang berani membawa perdamaian di rantau Asia Tenggara, sesetengah ahli politik pembangkang kelihatan masih tenggelam dalam permainan sindiran tidak matang dan politik murahan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini mencatat sejarah apabila berjaya menjadi pemudah cara dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja — dua negara jiran yang hampir mencetuskan konflik bersenjata.

Hasil usaha diplomatik yang disifatkan sebagai matang dan berani itu, satu persetujuan gencatan senjata dicapai, dan Malaysia mendapat pujian daripada komuniti antarabangsa.

Namun, usaha murni itu dicalarkan oleh tindakan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang memuat naik satu hantaran satira menampilkan watak kartun haiwan — dipercayai menyindir peranan PMX dalam rundingan tersebut.

Gambar seekor kambing dan biri-biri bergaduh kerana pisang, dengan seekor monyet sebagai “pendamai”, nyata mengundang kemarahan ramai.

Simbolik itu dilihat bukan sahaja memperlekeh peranan Anwar, malah turut menghina Thailand dan Kemboja yang ketika itu dalam proses menyelamatkan nyawa rakyat mereka.

Tindakan Ahmad Fadhli telah menerima kecaman hebat bukan sahaja daripada pemimpin kerajaan, malah rakyat sendiri.

Ketua AMK PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim, menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak patriotik dan memalukan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar pula menyifatkan sindiran itu sebagai “dangkal dan menghina kedaulatan Malaysia”.

Namun, yang lebih mengecewakan, Ahmad Fadhli enggan memohon maaf walaupun ditegur secara terbuka.

Beliau malah menegaskan bahawa beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat, seolah-olah cuba melepaskan tanggungjawab atas perbuatannya.

Inilah bukti jelas betapa sesetengah pemimpin pembangkang tidak memahami beza antara membangkang secara konstruktif dan membangkang secara semberono.

Ketika negara sedang dipandang tinggi kerana inisiatif perdamaian antarabangsa, tindakan sebegini bukan sahaja mencemarkan nama baik pemimpin negara, malah turut merosakkan imej Malaysia sebagai negara yang menjunjung nilai keamanan.

Rakyat hari ini tidak lagi menilai berdasarkan slogan atau retorik, sebaliknya melihat kepada keberanian pemimpin untuk beraksi di pentas dunia.

Dan dalam hal ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi kuasa pendamai, bukan sekadar penonton dalam krisis serantau.

Sebaliknya, pembangkang perlu sedar bahawa kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan lesen untuk menghina atau mencalarkan nama baik negara.

Jika tidak mampu menyumbang ke arah diplomasi atau kestabilan, paling tidak — jangan jadi suara yang menyumbang kepada perpecahan dan kehinaan.

Malaysia sedang melangkah ke hadapan. Dunia mula membuka mata. Jangan biarkan tindakan politik picisan segelintir wakil rakyat menjadi punca kita mundur semula.

*Penulis adalah adalah penganalisis komunikasi politik dan bekas wartawan diplomasi serantau.