KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal melaksanakan larangan pembukaan akaun media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun seawal tahun depan, sebagai usaha memperkukuhkan keselamatan kanak-kanak dalam ruang digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat Jemaah Menteri bagi menangani ancaman jenayah siber yang turut melibatkan golongan muda, termasuk risiko eksploitasi oleh pemangsa seksual.
“Kita berharap menjelang tahun hadapan, semua penyedia platform media sosial dapat mematuhi keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan kanak-kanak di bawah usia 16 tahun membuka akaun,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai, di sini pada Ahad.
Menurut Fahmi, kerajaan sedang meneliti kaedah pelaksanaan had umur tersebut melalui cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Talian serta Akta Komunikasi dan Multimedia, selain merujuk model beberapa negara seperti Australia dalam aspek penguatkuasaan.
Antara mekanisme yang sedang dipertimbangkan ialah mewajibkan platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti digital (eKYC) menggunakan dokumen pengenalan rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.
Fahmi menegaskan bahawa kesedaran bersama antara kerajaan, pihak berkuasa dan ibu bapa amat penting bagi memastikan persekitaran digital negara bukan sahaja berdaya saing dan mampu milik, tetapi juga lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga.