KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai larangan majlis melibatkan alkohol di kawasan sekolah sebagai tindakan “menjolok sarang tebuan” yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Cina.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kenyataan Anwar semalam di Dewan Rakyat berhubung isu tersebut dianggap sebagai bentuk campur tangan terhadap adat resam komuniti Cina yang telah diamalkan sekian lama.
Menurutnya, dewan komuniti di sekolah vernakular Cina secara tradisinya menjadi lokasi bagi majlis perkahwinan, makan malam dan acara sosial yang kadangkala menghidangkan alkohol — dan semuanya diadakan di luar waktu persekolahan tanpa melibatkan pelajar.
“Rasa tidak puas hati masyarakat Cina berpunca daripada tindakan Perdana Menteri yang dilihat tunduk kepada tekanan pelampau dan perkauman, sehingga mengganggu tradisi yang tidak pernah mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lim turut menegaskan bahawa semasa PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan sebelum ini, tiada campur tangan seumpama itu terhadap sekolah rendah Cina atau aktiviti yang dijalankan di dewan sekolah.
Beliau menyifatkan pendirian Perdana Menteri — walaupun bertujuan memelihara kesucian institusi pendidikan — kelihatan seiring dengan sentimen pelampau agama dan perkauman.
“Sekolah rendah Cina sudah lama dikenali sebagai institusi pendidikan yang berdisiplin dan beretika tinggi. Pelajar mereka tidak terdedah kepada alkohol, malah kadar salah laku seperti rogol atau penderaan seksual juga rendah,” katanya.
Anwar semalam ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri menjelaskan beliau lebih suka jika alkohol tidak dihidangkan di kawasan sekolah, namun menegaskan pandangan itu hanya boleh dikuatkuasakan di sekolah kerajaan, bukan sekolah komuniti.
Perdana Menteri turut menafikan hasrat untuk menyekat hak masyarakat bukan Islam, sebaliknya menekankan prinsip bahawa sekolah adalah tempat mendidik kanak-kanak, bukan untuk aktiviti sosial.
Dalam kenyataannya, Lim turut menyuarakan kebimbangan bahawa larangan tersebut mungkin diperluas pada masa depan, termasuk terhadap majlis komuniti yang menghidangkan daging babi.
“Jika daging babi dilarang di institusi kerajaan, adakah selepas ini sekolah rendah Cina juga akan dilarang menghidangkannya dalam majlis adat seperti perkahwinan atau jamuan kuil?” soalnya.
Lim berkata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, telah pun menghubungi Anwar bagi mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak, seperti mana pendekatan serupa digunakan dalam isu pengambilan pelajar cemerlang ke matrikulasi dan universiti awam.