Peribahasa MALANG TIDAK BERBAU ini membawa maksud bahawa kecelakaan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di tempat yang tidak dijangka.
Contohnya, apabila minuman atau cecair tertumpah di atas komputer riba ketika sedang bekerja.
Situasi ini pastinya merunsingkan dan memerlukan tindakan segera untuk mengelakkan kerosakan yang lebih serius.
Dalam perkongsian oleh sebuah kedai komputer, OK Computer Solution, terdapat beberapa langkah pantang larang
Dan tindakan pantas yang boleh diambil jika berhadapan dengan situasi sebegini.
Langkah-Langkah Penting Jika Cecair Tertumpah Pada Komputer Riba:
Matikan sambungan elektrik.
Tutup soket elektrik segera jika komputer riba sedang dicas.
Cabut semua peranti tambahan.
Tanggalkan peranti seperti tetikus, pembesar suara, atau kabel lain yang bersambung.
Serap dan keluarkan cecair.
Gunakan kain lembut atau pembersih hampagas mini untuk menyedut keluar cecair dari bahagian seperti kabel kuasa, port USB, dan soket lain.
Terbalikkan komputer riba.
Letakkan komputer riba dengan papan kekunci menghadap ke bawah untuk memudahkan cecair mengalir keluar.
Gunakan kain tebal atau tuala.
Letakkan kain pada papan kekunci untuk menyerap cecair yang masih berada dalam komputer.
Keringkan bahagian sensitif.
Gunakan putik kapas (cotton bud) untuk mengeringkan air pada bahagian penting seperti papan induk (motherboard).
Mempercepatkan proses pengeringan.
Anda boleh mengipas komputer riba menggunakan surat khabar atau majalah, tetapi elakkan menggunakan pengering rambut. Sumber haba dari pengering rambut boleh merosakkan komponen komputer riba dan menyebabkan wap air merebak ke kawasan lain.
Pastikan komputer benar-benar kering.
Setelah yakin komputer riba kering sepenuhnya, cuba hidupkan semula komputer seperti biasa.
Jika komputer riba berfungsi seperti sediakala, anda bernasib baik. Namun, jika masih gagal beroperasi, segeralah berjumpa juruteknik bertauliah untuk pemeriksaan lanjut.