PUTRAJAYA, 10 Mac – Laporan hasil siasatan Jawatankuasa Khas yang meneliti isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tindakan susulan.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, laporan yang disediakan jawatankuasa tersebut dan dipengerusikan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, akan dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Disiplin dalam masa terdekat.
Menurut beliau, pihaknya telah menerima laporan berkenaan sebelum memanjangkannya kepada JPA untuk proses seterusnya.
“Saya sudah terima laporan itu dan telah dipanjangkan kepada JPA. Mesyuarat Lembaga Disiplin akan diadakan dalam masa terdekat untuk meneliti perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bubur Lambuk dan Penyerahan Light Operational Vehicle (LOV) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Putrajaya, hari ini.
Shamsul Azri turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dimaklumkan mengenai laporan siasatan tersebut.
Mengulas mengenai sama ada kontrak Azam akan disambung atau sebaliknya, beliau berkata perkara itu perlu diputuskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri.
Difahamkan, Mesyuarat Kabinet dijadualkan berlangsung esok.
Sebelum ini, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan dan isu berbangkit berkaitan Azam susulan laporan Bloomberg yang mendakwa beliau memiliki jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan rekod pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam sebelum ini menjelaskan bahawa pegangan sahamnya yang dianggarkan bernilai sekitar RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus serta mematuhi semua prosedur yang ditetapkan.