Kurniawan Naim Angkat Sumpah Sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan

Oleh NURAIMAN

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Kurniawan Naim Moktar secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat pada persidangan Parlimen, hari ini.

Majlis angkat sumpah tersebut disempurnakan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum bermulanya sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.

Kurniawan Naim mengangkat sumpah selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan pada Sabtu lalu dengan majoriti selesa sebanyak 14,214 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

Beliau menewaskan calon Warisan, Saddi Abdul Rahman yang memperoleh 5,638 undi, manakala calon Bebas, Goldam Hamid meraih 946 undi.

PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, yang juga bapa kepada Kurniawan Naim, pada 5 Disember tahun lalu.

Dalam ucapan pemasyhuran selepas majlis angkat sumpah, Johari berharap Kurniawan Naim dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Kinabatangan.

“Saya berharap Yang Berhormat dapat meneruskan legasi dan jasa Allahyarham ayahanda dengan memberikan sumbangan bermakna kepada kawasan dan memainkan peranan berkesan di Dewan Rakyat demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Pada sesi sama, Kurniawan Naim turut mengemukakan soalan sulungnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan potensi kemasukan pelaburan ke kawasan luar bandar, termasuk di Parlimen Kinabatangan.