Seorang peniaga bazar Ramadan yang tular baru-baru ini apabila terlibat dalam kemalangan dengan kuih jualan bertaburan atas jalan berkata, beliau akan bangkit semula.
Baru-baru ini, Toyota Avanza dipandu Mohammad Mohamad Zukeri, 33, terbalik selepas merempuh pokok ketika dalam perjalanan ke bazar Ramadan di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor.
Keadaan itu menyebabkan Mohammad mengalami kecederaan pada bahagian tangan dan mendapat rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Shah Alam.
Kuih jualannya juga bertaburan di jalan raya akibat insiden berkenaan.
Kisah Mohammad mendapat perhatian selepas tular gambar serta video menunjukkannya menjawab pertanyaan dengan pandangan kosong.
Riak wajah Mohammad itu mengundang simpati netizen yang sedih mengenangkan nasib lelaki berkenaan diuji dalam Ramadan.
Berkongsi kisah, Mohammad berkata, kemalangan berlaku ketika dia berseorangan dan terbabas kerana mahu mengelak daripada merempuh sebuah motosikal.
“Akibat kejadian itu, hidung saya terhantuk dan tangan pun luka kerana cedera namun Alhamdulillah, saya selamat.
“Cuma kenderaan saya sudah ‘total loss’ (rosak sepenuhnya) dan nak tunggu dapat tuntutan wang daripada insurans mungkin lambat lagi.
“Buat masa ini, saya berehat dulu kerana tak ada kenderaan nak cari rezeki dan terima kasih kepada yang menyumbang.
“Hanya Allah SWT dapat membalasnya dan mudah-mudahan saya ada rezeki beli kereta baharu kerana perlu keluar cari rezeki,” katanya, lapor Harian Metro.
Dalam masa sama, beliau mengucapkan terima kasih atas sumbangan diberikan.
“Bantuan kewangan itu amat membantu saya untuk bangkit semula,” katanya.
Sementara itu, isterinya, Masnila Rasoki, 38, berkata, dia berada di rumah ketika kejadian dan terkejut selepas menerima panggilan memaklumkan mengenai keadaan suaminya.
“Saya tak kerja, waktu kejadian di rumah sedang jaga anak yang baru berumur setahun.
“Gelap rasanya dunia selepas dapat berita maklumkan suami kemalangan.
“Mujur dia selamat dan jujurnya terharu sangat apabila ramai tolong hingga tak tahu nak kata apa.
“Bantuan itu memang meringankan sangat beban kami untuk bayar sewa rumah juga bil api dan air kerana jika tidak, tak tahu macam mana memandangkan anak masih bersekolah.
“Tak lama lagi pula nak raya,” katanya yang sebelum ini membantu membuat kuih untuk dijual di bazar Ramadan.
Baca:
“Banyak sekolah cina yang …” – Terbeliak biji mata tengok angka tajaan ibu bapa demi anak-anak
Askar dayus ‘lempang’ isteri sehingga dengar bunyi dentuman
Sendiri buat onar, sendiri koyak! Fatiya Latiff ugut keluar agama, tak tahan dibuli netizen