Krisis Asia Barat: Kerajaan fokus kestabilan ekonomi, kawal kos sara hidup rakyat

Oleh Admin 06

PUTRAJAYA, 12 Mac – Kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha mengekalkan kestabilan ekonomi negara serta mengawal kesan terhadap kos sara hidup rakyat susulan ketidaktentuan ekonomi global dan perkembangan geopolitik semasa.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata konflik yang berterusan di Asia Barat berpotensi menjejaskan kestabilan bekalan tenaga global dan aliran perdagangan antarabangsa, sekali gus boleh mencetuskan kejutan harga komoditi.

Menurut beliau, situasi tersebut perlu ditangani dengan pendekatan strategik agar ekonomi domestik terus berfungsi dengan baik.

“Oleh itu, dalam menghadapi cabaran ini kita tidak boleh melihatnya hanya sebagai risiko. Sebaliknya ia juga membuka peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh daya tahan ekonomi serta melakukan penstrukturan semula kepada ekonomi yang lebih berasaskan penciptaan nilai,” katanya.

Akmal berkata setakat ini perkembangan semasa menunjukkan konflik di Asia Barat masih belum memperlihatkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat.

Tambah beliau, walaupun konflik itu berakhir kelak, pemulihan ekonomi global dijangka mengambil masa dan tidak akan kembali normal serta-merta.

“Apabila konflik selesai sekalipun, terdapat beberapa perkara yang memerlukan tempoh tertentu untuk pulih sepenuhnya,” jelasnya.

Sehubungan itu, Kementerian Ekonomi sedang memantau secara rapi beberapa indikator utama termasuk kadar inflasi, kestabilan rantaian bekalan serta peningkatan kos pengangkutan global bagi menilai kesannya terhadap ekonomi domestik.

Menurut Akmal, kementerian lain yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula akan melaksanakan langkah mitigasi di peringkat operasi sekiranya diperlukan.

“Setiap kementerian berkaitan lebih hampir dengan situasi sebenar di peringkat operasi dan akan mengambil langkah mitigasi sewajarnya, manakala Kementerian Ekonomi memantau perkembangan secara menyeluruh dari sudut makroekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan satu mesyuarat khas Jemaah Menteri akan diadakan esok bagi meneliti perkembangan semasa serta kesan konflik Asia Barat terhadap ekonomi negara.

Menurutnya, perbincangan awal telah diadakan semalam melibatkan beberapa kementerian berkaitan bagi menilai perkembangan terkini serta impaknya kepada ekonomi Malaysia.

“Dapatan daripada perbincangan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat esok untuk diperhalusi dan dibincangkan tindakan seterusnya,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan telah mengaktifkan satu jawatankuasa khas bagi menilai kesan ekonomi susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dengan penglibatan Menteri Ekonomi serta beberapa menteri berkaitan bagi menilai implikasi konflik tersebut terhadap ekonomi negara.