Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini merasmikan Majlis Pra Pelancaran Sambutan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2023.
Katanya, HPPNK merupakan signature event KPKM, di mana pada setiap tahun sambutan HPPNK diadakan sebagai tanda Kerajaan menghargai sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi penyumbang utama keterjaminan makanan negara.
Sesuai dengan tema Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan dan usaha memperkasa masyarakat peladang, penternak dan nelayan, fokus penyampaian sambutan kali ini akan mengupas aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang diterjemah melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0).
Di samping itu pengunjung juga akan dapat menikmati sendiri pengalaman pertanian secara praktikal seperti simulasi combine harvester simulation yang memberi ruang dan peluang untuk merasai suasana sebenar mengendalikan jentuai padi semasa proses penuaian di lapangan, melihat dengan lebih dekat baka ternakan seperti lembu hibrid terbaik, baka kambing dan ayam saga.
Selain itu, HPPNK pada kali ini turut memberi penekanan terhadap pengurusan sisa menerusi penghasilan by-product seperti kertas dan benang daripada serat nanas, demo pengurusan sisa dapur bagi penghasilan kompos daripada sisa tanaman serta impak perubahan iklim terhadap sektor pertanian, klinik keusahawanan, teknologi pertanian dan industri asas makanan serta pemasaran digital yang akan disampaikan oleh para panel berpengalaman.
HPPNK 2023 yang berkonsepkan mood baharu sebagai daya tarikan khusus untuk golongan orang muda dengan empat fokus utama iaitu Agro Millenia yang menawarkan empat segmen utama khas untuk orang muda seperti Lepaking Orang Muda, Klinik Orang Muda, Sukan dan Ruang Orang Muda.
Fokus Teknologi dan Inovasi pula menawarkan showcase kecanggihan agroteknologi dan inovasi pertanian, penternakan, perikanan, IOT dan kelestarian pertanian. Turut menampilkan showcase berkaitan dengan Climate Change dan Food Wastage.
Fokus terakhir adalah Agro Madani dalam meraikan para pengunjung dengan pelbagai produk jualan pertanian menerusi Jualan Agro Madani, Empayar Makanan, produk pertanian dan industri asas tani, buah-buahan dan florikultur.