KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menguatkuasakan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh bukan warganegara berkuat kuasa 1 Mac ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peraturan tersebut disediakan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dan Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961, serta akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dilaksanakan.
“Langkah ini bertujuan memastikan subsidi minyak masak dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia dan mengelakkan penyalahgunaan oleh warga asing,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam menjawab soalan tambahan mengenai cadangan integrasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dengan pangkalan data bantuan lain, Armizan berkata KPDN sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menjadikan platform MyKasih sebagai salah satu opsyen pembelian minyak masak paket bersubsidi.
“Mungkin selepas ini, rakyat hanya perlu mengimbas kad pengenalan bagi membeli minyak masak paket tanpa perlu menggunakan aplikasi eCOSS,” katanya.
Armizan turut merujuk kejayaan penggunaan MyKad dalam pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON 95 sebagai rujukan pelaksanaan cadangan tersebut.
Beliau juga menekankan keberkesanan eCOSS dalam mengawal ketirisan penjualan minyak masak paket bersubsidi, dengan rekod pembelian sebanyak 20,361,432 paket sejak pelaksanaan sistem itu pada Mei 2025. “Kami kini mempunyai data tepat mengenai pembelian dalam kalangan warganegara, sekaligus membolehkan hala tuju program ditentukan berasaskan maklumat tersebut,” katanya.