Siasatan berhubung kes bunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin menyaksikan pelbagai perkara telah dilakukan termasuk menyedut air dari kawasan takungan di anak sungai berhampiran lokasi mayat kanak-kanak autisme itu ditemui pada 6 Disember lalu.
Polis juga melaksanakan operasi periksa rumah ke rumah di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya bagi menjejaki pembunuh kanak-kanak berusia enam tahun terbabit.
Sehubungan itu, ramai yang meluahkan rasa geram dan tidak sabar melihat siapa sebenarnya pembunuh budak lelaki berkenaan.
“Kalau betul dah jumpa, nak tengok sangat muka pembunuhnya. Geram betul!
“Cepatlah tertangkap pembunuhnya tu. Nak sangat tengok muka orang yang tergamak bunuh Zayn Rayyan.
“Nak tau juga apa masalah dia sampai sanggup bunuh anak yang tak berdosa. Semoga dipermudahkan segala urusan PDRM dalam usaha mencari pembunuh,” demikian antara harapan dan doa warganet.
Pada 12 Disember lalu, lebih dua jam polis menjalankan pemeriksaan rumah ke rumah bermula pukul 8.40 malam di Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai bagi mengumpul bahan bukti yang boleh membantu siasatan kes.
Pemeriksaan yang tertumpu di tingkat dua dan tiga blok yang berketinggian empat tingkat itu melibatkan lebih 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Usai pemeriksaan, polis dilapor keluar dengan membawa dua kotak berkemungkinan berisi bahan bukti bagi membantu siasatan.
Sebelum itu, pada sebelah siangnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor membantu polis menyedut air dari kawasan takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui.
Dalam ketika hujan lebat di lokasi yang berjarak 200 meter dari rumah Zayn itu, kerja mengepam air dilapor bermula kira-kira 12.20 tengah hari.
Nasib malang yang menimpa Zayn Rayyan menggemparkan rakyat Malaysia apabila hasil bedah siasat doktor pakar forensik Hospital Sungai Buloh mengesahkan kematian mangsa adalah disebabkan kesan kecederaan pada leher.
Susulan itu, kes diklasifikasikan semula daripada mati mengejut kepada siasatan kes bunuh di bawah seksyen 302 kanun keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mati.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kehilangan mangsa mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03- 79662222.
Boleh juga berhubung terus dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Deputi Superintendan, Muhammad Yusof Ahmad di talian 013-9760019, pegawai penyiasat kanan polis, Asisten Superintendan (ASP), Mohd Hafizee Ismail di talian 013-3587571 dan pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin di talian 017-5316415.
Baca:
Sengaja nak ‘test market’, kemaruk kejar dosa – Penulis skrip ini bimbang drama Melayu makin rosak
Air mata kecewa sambut perkahwinan mewah Nazir Razak, anaknya lantang pertahankan ibu
Selepas JDT cipta sejarah raih ‘double quadruple’, rakyat Johor boleh goyang kaki 17 Disember ini