KKM Kaji Perjanjian Dua Hala Tangani Penghijrahan Petugas Kesihatan

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti cadangan pelaksanaan perjanjian dua hala dengan beberapa negara utama bagi mengurus dan mengawal penghijrahan petugas kesihatan tempatan secara lebih tersusun.

Antara negara yang dikenal pasti termasuk Arab Saudi, Singapura dan Australia, yang menjadi destinasi pilihan tenaga kerja kesihatan Malaysia. Langkah ini sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi Kod Amalan Global Pengambilan Antarabangsa Petugas Kesihatan.

Menurut KKM, kod etika tersebut menyediakan panduan kepada negara anggota untuk memastikan proses pengambilan tenaga kerja kesihatan dilaksanakan secara beretika, di samping mengurangkan kesan negatif terhadap negara sumber, khususnya negara membangun. Pada masa sama, kebajikan petugas kesihatan yang berhijrah turut diberi perhatian.

Inisiatif itu dilihat sebagai respons kepada kebimbangan terhadap krisis tenaga kerja dalam sektor kesihatan awam, susulan laporan yang menunjukkan kadar penolakan tinggi dalam kalangan doktor pelatih. Berdasarkan nota penyelidikan oleh MBSB Research, daripada 5,000 kekosongan penempatan ‘housemanship’ yang ditawarkan pada Januari 2026, hanya sekitar 529 individu atau 10.5 peratus melaporkan diri.

Keadaan ini menggambarkan ketirisan bakat yang semakin membimbangkan, terutama apabila negara jiran seperti Singapura giat menarik tenaga perubatan dari Malaysia dengan tawaran lebih lumayan. Malah, terdapat ejen perekrutan yang dilaporkan menyasarkan pelajar perubatan tahun akhir secara langsung.

Institusi pengajian tinggi seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia antara yang dikenal pasti menjadi sasaran.

Dari segi imbuhan, tawaran di Singapura dilihat jauh lebih kompetitif dengan gaji permulaan mencecah sekitar S$110,000 setahun, selain menyediakan jawatan tetap serta faedah pencen. Ini berbeza dengan sistem di Malaysia yang masih banyak bergantung kepada lantikan kontrak tanpa jaminan kerjaya jangka panjang.

Dalam usaha menangani isu ini secara menyeluruh, KKM turut melaksanakan beberapa reformasi struktur. Antaranya termasuk penamatan secara berperingkat sistem doktor kontrak bagi pegawai perubatan, dengan matlamat menyediakan laluan kerjaya lebih stabil tertakluk kepada kedudukan fiskal negara.

Selain itu, kementerian juga merancang memperkenalkan mandat mobiliti dan agihan semula tenaga kerja bagi memastikan penempatan pegawai dilakukan secara lebih strategik, khususnya di kawasan yang mengalami beban kerja tinggi.

KKM turut menegaskan komitmen untuk mengekalkan kualiti latihan siswazah bagi melahirkan pegawai perubatan yang kompeten dan selamat. Dalam masa sama, usaha memperkasa kebajikan petugas kesihatan akan terus diperkukuh melalui penambahbaikan insentif kewangan serta kemudahan, terutama bagi mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman atau berisiko tinggi.

Langkah tersebut termasuk kajian semula kadar elaun agar kekal kompetitif, di samping usaha berterusan menaik taraf fasiliti perumahan dan persekitaran kerja bagi meningkatkan kesejahteraan serta motivasi petugas kesihatan negara.