KUALA LUMPUR: Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila defisit fiskal bagi tahun 2024 menurun sebanyak RM12.224 bilion kepada RM79.166 bilion, berbanding RM91.390 bilion pada tahun sebelumnya.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 3/2025 yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong turut mengesahkan bahawa prestasi kewangan negara kini berada pada landasan yang lebih stabil dan mampan.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, hasil analisis menunjukkan nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga berjaya dikurangkan kepada 4.1 peratus — bukan sahaja lebih rendah berbanding 5.0 peratus pada 2023, malah lebih baik daripada sasaran 4.3 peratus yang ditetapkan dalam Belanjawan 2024.
“Penurunan ini membuktikan keberkesanan langkah pengurusan fiskal kerajaan dalam mengekang ketirisan dan memperkukuh disiplin perbelanjaan awam. Ia juga menjadi asas penting untuk mencapai sasaran defisit jangka sederhana di bawah 3 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 memberikan gambaran yang benar dan saksama mengenai kedudukan kewangan negara, dengan rekod perakaunan diselenggarakan secara teratur dan telus.
Sehubungan itu, Wan Suraya memberikan Pendapat Tanpa Teguran (Unmodified Opinion) dengan Perenggan Hal-hal Lain (Other Matters) terhadap penyata kewangan berkenaan — satu pengiktirafan bahawa laporan kewangan kerajaan mematuhi piawaian perakaunan yang baik.
Dalam laporan sama, beliau bagaimanapun menegur kelewatan pelaksanaan Projek Pangkalan Operasi Hadapan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah, yang sepatutnya siap pada 16 November 2024 tetapi masih belum disempurnakan setakat Julai tahun ini.
“Antara isu dikenal pasti termasuk kelewatan pembinaan Bangunan Penempatan Semula (BPS), struktur utama lain yang masih tergendala, serta pembinaan jeti yang belum dimulakan,” katanya.
Wan Suraya turut memaklumkan bahawa mulai tahun ini, Jabatan Audit Negara (JAN) akan memperluaskan liputan pengauditan terhadap 1,856 badan termasuk syarikat milik kerajaan melalui Sistem e-SelfAudit, bagi memastikan setiap entiti dapat diaudit secara tahunan menggunakan pendekatan digital.
“Tiga aspek utama yang diberi penekanan dalam pengauditan ialah pencapaian objektif penubuhan, pematuhan terhadap prinsip tadbir urus, serta prestasi kewangan keseluruhan,” tambah beliau.