Kes Pijak al-Quran: Polis Rujuk Kertas Siasatan ke AGC

Oleh Admin 06

KUANTAN, 2 Mac – Kertas siasatan berhubung kes tular individu memijak al-Quran dijangka dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini bagi mendapatkan arahan lanjut pendakwaan.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, langkah itu dibuat selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa pendakwaan kepada Jabatan Peguam Negara.

Menurut beliau, setakat ini sebanyak 62 laporan polis telah diterima di seluruh negara berkaitan penularan foto berkenaan, manakala 43 saksi telah dipanggil bagi tujuan rakaman percakapan untuk membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan secara profesional dan adil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian serta ketenteraman negara,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Beliau memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada masa sama, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan serta menyentuh sensitiviti agama.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata individu terbabit telah ditahan pada 25 Februari lalu sebelum direman sehingga 28 Februari bagi membantu siasatan. Tempoh reman itu kemudiannya disambung sehingga 3 Mac untuk melengkapkan siasatan.

“Ketua Polis Daerah Kuantan sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan media berhubung tangkapan individu berkenaan,” jelasnya.