Realtime website trackingweb stats

Kes dera: Siti Bainun tarik balik gantung pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun

Oleh NUR KASIH

PUTRAJAYA – Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali menarik balik rayuannya terhadap penangguhan hukuman penjara 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella di Mahkamah Rayuan hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Fatin Syaza Irdina Muhamad Eddin Syazri yang mewakili Siti Bainun, 32, selaku perayu pada pendengaran rayuan tersebut di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Semasa prosiding, peguam tersebut berkata penarikan rayuan itu adalah atas arahan anak guamnya.

“Hari ini ditetapkan untuk pendengaran rayuan, namun pihak kami telah mendapat arahan daripada anak guam untuk menarik balik rayuan ini.

“Pihak kami telah mendapat arahan (daripada anak guam) untuk memfailkan satu permohonan (permohonan baharu) penangguhan pelaksanaan hukuman di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Kes dera Siti Bainun tarik balik gantung pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun

Dalam pada itu, pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Datin Asmah Musa dan Azizah Mohamad tidak membantah penarikan rayuan berkenaan.

Setelah mendengar makluman daripada kedua-dua belah pihak, Hakim Ahmad Zaidi kemudian membatalkan rayuan tersebut.

“Rayuan dibatalkan,” kata Ahmad Zaidi.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Sebelum ini pada 23 Mei tahun lalu, Siti Bainun gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Ahmad Bache ketika itu memutuskan demikian selepas menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon selain meneliti hujahan dan afidavit yang dikemukakan kedua-dua belah pihak sebelum ini.

Pada 2 Mei lalu, Siti Bainun kekal atas sabitan dan hukuman penjara 12 tahun itu oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang mendengar rayuan berhubung sabitan yang diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Siti Bainun didakwa mengabaikan dan menganiaya mangsa yang berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan remaja tersebut cedera fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini pada Februari hingga Jun 2021.

Oleh itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara selama 20 tahun atau denda sebanyak RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi tuduhan pertama, Siti Bainun dihukum penjara selama 10 tahun manakala bagi tuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara selama 12 tahun. Kedua-dua hukuman ini akan dilaksanakan secara serentak bermula dari tarikh sabitan.

Selain dari hukuman penjara, Siti Bainun juga diarahkan untuk menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Baca:

Kawan gelar Yuna hilang akal hanya sebab tegas dengan pendirian?

Ibarat susu dibalas tuba, penghutang tergamak hantar sihir gara-gara serabut didesak bayar hutang

Peniaga terpaksa buang satu periuk besar sup, rugi RM2000 hanya kerana seekor gagak ditembak MBSP