Kerjaya sebagai penebar roti canai kini boleh menjana pendapatan lumayan, mencecah lima angka, terutamanya bagi golongan belia yang kurang berminat dalam bidang akademik.
Namun, persepsi masyarakat yang memandang rendah terhadap kerjaya ini masih kuat,
menyebabkan ramai yang enggan menceburi bidang ini walaupun ia berpotensi melahirkan usahawan berjaya.
Permintaan terhadap penebar roti canai di seluruh Malaysia kini sangat tinggi, dengan beberapa restoran sanggup menawarkan gaji sehingga RM200 sehari.
Pemilik Restoran Abang Terbang di pekan Kuala Pilah, Kamarul Rizal Kamarudin,
42, kini berbangga apabila pengalaman 22 tahun sebagai penebar roti canai digunakannya untuk membuka kedai roti canai sendiri.
Kamarul Rizal berkata, melalui kaedah pemasaran di laman sosial, dia kini dapat menjual 400 hingga 500 keping roti canai pada hari biasa dan 700 keping roti canai sehari pada hujung minggu.
Menceritakan pengalamannya, Kamarul Rizal berkata dia mula menebar roti canai pada usia 14 tahun sebagai pekerja sambilan di sebuah restoran.
“Selepas tamat sekolah, saya terus bekerja sebagai penebar roti canai sebelum berguru dengan seorang penebar di Bukit Baru, Melaka untuk mendalami ilmu membuat dan menebar roti canai.
“Selepas dua bulan belajar, saya mula bekerja di sebuah restoran di Paroi, Seremban. Saya kemudian bekerja di lebih 10 restoran sebagai penebar. Saya juga pernah membuka tiga restoran sebelum ini namun tidak berjaya,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, setelah mengalami pelbagai liku dalam dunia perniagaan makanan, dia membuka Restoran Abang Terbang pada Ogos 2020.
Mengulas mengenai kerjaya ini, Kamarul Rizal berkata golongan belia yang menganggur dan tidak berminat dalam bidang akademik boleh mempelajari kemahiran menebar roti canai kerana permintaan terhadap kerjaya ini sangat tinggi.
“Saya mendapat inspirasi daripada seorang penebar yang berjaya meluaskan kerjayanya hingga ke Brunei dan meraih pendapatan sehingga RM10,000. Ada juga penebar yang melebarkan kerjaya hingga ke Singapura dan Australia.
“Saya mengajar semua kakitangan untuk menebar roti canai supaya mereka mempunyai kemahiran itu walaupun tugas mereka hanya mengambil pesanan pelanggan,” katanya.
Kamarul Rizal juga mendedahkan bahawa baru-baru ini dia dilamar oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, untuk menjadi tenaga pengajar penebar roti canai di akademi yang bakal diwujudkan di negeri ini.
“Ramai yang mempersendakan idea dan usaha yang diberikan YB (yang berhormat) kerana menganggap ia satu perkara yang melucukan, namun ramai yang tidak tahu ilmu ini mampu membantu ekonomi mereka yang berkemahiran,” katanya.
Pekerja Restoran Abang Terbang, Nur Atiqah Mohd Salleh, 21, pula berkata dia berbangga kerana walaupun usianya masih muda, dia sudah mahir menebar roti canai.
BACA: ‘Din nak pergi mana? Abah nak ikut. Boleh abah ikut?’ Perkongsian lelaki ini buat ramai sebak