Kerajaan yakin Akta SPRM berkesan, terbuka cadangan penambahbaikan

Oleh Ahmad Fahmi

Kerajaan berpandangan peruntukan undang-undang sedia ada di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) masih memadai dan berkesan dalam usaha membanteras gejala rasuah di negara ini pada masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan maklum balas serta pandangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, walaupun akta berkenaan mencukupi untuk dilaksanakan ketika ini, SPRM tetap bersikap terbuka menerima sebarang cadangan penambahbaikan daripada pelbagai pihak pada masa akan datang selaras dengan keperluan semasa.

Azalina menjelaskan bahawa Seksyen 36 Akta SPRM memberikan kuasa mencukupi kepada SPRM untuk menghendaki mana-mana individu mengemukakan maklumat berkaitan harta yang dimiliki atau yang mempunyai kepentingan ke atasnya, sama ada dari sudut perundangan atau ekuiti.

Beliau berkata, peruntukan itu turut mewajibkan individu berkenaan menyatakan tarikh harta diperoleh serta kaedah pemerolehannya bagi tujuan siasatan.

Kenyataan itu dikemukakan Azalina dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat, semalam, bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong.