PETALING JAYA – Rundingan berhubung pemberian khas kepada Sabah akan diteruskan pada 19 Disember ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Amir Hamzah Azizan.
Beliau memaklumkan bahawa kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyatakan komitmen untuk melaksanakan rundingan secara berperingkat dan teratur bagi memastikan hasil yang adil serta mampan.
Menurut Amir Hamzah, satu sesi rundingan telah diadakan pada 17 November 2025 dan seterusnya membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas di peringkat pegawai yang melibatkan wakil kedua-dua pihak.
“Turut dipersetujui dalam rundingan tersebut ialah terma rujukan yang akan dijadikan panduan utama sepanjang proses perbincangan dilaksanakan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Negara, menurut Bernama.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan, melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), kekal komited untuk merundingkan kadar pemberian khas yang lebih baik termasuk pertimbangan bagi meningkatkan jumlah peruntukan kepada Sabah.
Amir Hamzah turut mengimbas bahawa pada tahun 2023, amaun pemberian khas Sabah telah dinaikkan kepada RM300 juta, manakala mulai 2025, jumlah itu dipersetujui untuk ditingkatkan hampir dua kali ganda kepada RM600 juta.
Beliau menjelaskan pembayaran tersebut bersifat interim sementara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah memuktamadkan kaedah baharu bagi menentukan mekanisme pemberian khas pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau berkata keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan Sabah turut dizahirkan melalui peningkatan berterusan peruntukan mengurus dan pembangunan, daripada RM14 bilion pada 2023 kepada RM17 bilion pada 2026.
Peruntukan tersebut disalurkan bagi melaksanakan projek strategik termasuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah, bekalan air dan elektrik luar bandar, jalan perhubungan desa serta penyediaan kemudahan sosial untuk kesejahteraan rakyat.