KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan akan meneliti beberapa peruntukan dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS), khususnya perkara yang berpotensi memberi kesan tidak seimbang kepada kepentingan negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun perjanjian tersebut telah dimeterai dan tidak boleh dibatalkan secara keseluruhan, masih terdapat ruang untuk rundingan lanjut terhadap aspek tertentu yang belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Beliau menjelaskan, kerajaan melalui MITI akan menilai semula komponen perjanjian yang masih boleh dibincangkan semula bagi memastikan ia dilaksanakan secara adil dan seimbang.
“Apa yang telah dipersetujui tidak boleh dipatah balik, namun masih ada bahagian yang boleh dirunding semula. Perkara inilah yang akan kita teliti,” katanya.
Johari berkata demikian ketika ditemui pemberita pada hari pertama beliau menjalankan tugas sebagai Menteri MITI, hari ini, susulan pertanyaan mengenai kemungkinan kerajaan menyemak semula perjanjian ART.
Menurut beliau, tidak semua peruntukan dalam perjanjian berkenaan bersifat muktamad, sebaliknya masih terbuka untuk perbincangan lanjut sekiranya didapati tidak selari dengan kepentingan Malaysia.
“Jika terdapat elemen yang tidak adil kepada negara, maka rundingan perlu dilakukan. Rundingan adalah sebahagian daripada proses memastikan kepentingan kita terus terpelihara,” katanya.
Beliau menegaskan, pendekatan itu penting bagi mengekalkan keseimbangan antara melindungi kepentingan nasional dan memastikan hubungan perdagangan dua hala dengan AS terus terjalin dengan baik.
Untuk rekod, Malaysia dan Amerika Syarikat telah menandatangani perjanjian ART pada 26 Oktober lalu, yang menyaksikan AS bersetuju mengekalkan kadar tarif sebanyak 19 peratus ke atas barangan Malaysia, dengan pengecualian diberikan kepada 1,711 item.
Sebagai timbal balik, Malaysia pula bersetuju untuk menghapuskan atau mengurangkan tarif ke atas beberapa produk terpilih dari Amerika Syarikat.