KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak berhasrat menutup mana-mana sekolah vernakular, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sekali gus menepis dakwaan yang tular kebelakangan ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kewujudan sekolah vernakular telah dijamin di bawah Akta Pendidikan 1996, dan kedudukan itu tidak wajar dipersoal atau dipertikaikan.
“Sejak awal pelantikan saya sebagai Menteri Pendidikan, saya sudah menjelaskan bahawa pengiktirafan sekolah vernakular adalah termaktub dalam Akta Pendidikan. Sebab itu saya dan Timbalan Menteri, Wong Kah Woh, sentiasa mempertahankannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Penyerahan Peralatan ICT (Smart Board) kepada sekolah-sekolah SJKT di SJK (T) Vivekananda, Brickfields, pada Selasa.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan semua SJKT dapat terus beroperasi tanpa sebarang halangan.
“Kadang-kadang ada berita yang tidak tepat mendakwa sekolah Tamil akan ditutup. Di sini saya ingin memberi jaminan, di hadapan Datuk Seri Ramanan dan semua yang hadir, bahawa Kerajaan MADANI tidak akan menutup mana-mana SJKT.
“Jangan terpengaruh dengan maklumat tidak sahih. Semak dengan kami dahulu,” katanya.