KUALA LUMPUR – Kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi kerja-kerja membaik pulih infrastruktur awam yang rosak akibat banjir di beberapa negeri, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, semua agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri telah diarahkan melakukan penilaian segera terhadap tahap kerosakan sebelum kerja pembaikan dilaksanakan tanpa berlengah.
“Ini merangkumi pembaikan sekolah, klinik kesihatan, jalan raya dan pelbagai kemudahan asas lain. Untuk mempercepatkan tindakan, saya meluluskan RM500 juta khusus bagi menangani kerosakan bencana banjir,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
RUU Perbekalan itu sebelum ini telah diluluskan di Dewan Rakyat selepas dibentangkan oleh Anwar pada 10 Oktober lalu.
Menurut Anwar, yang juga Menteri Kewangan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan bagi menangani situasi banjir.
“Tahun ini, lebih 150 pusat pemindahan sementara tambahan diaktifkan dan membantu lebih 12,000 mangsa yang terjejas,” jelasnya.
Dalam pembentangannya, Anwar turut menekankan fokus kerajaan melalui Belanjawan 2026 yang memperuntukkan RM470 bilion bagi memacu pertumbuhan ekonomi, memperkukuh tadbir urus dan memastikan bantuan sampai terus kepada rakyat.
Sabah dan Sarawak, katanya, terus diberi tumpuan melalui pelaksanaan projek kritikal seperti pembekalan air, pembinaan semula sekolah daif, Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta pembangunan infrastruktur digital termasuk projek kabel dasar laut.
Bagi aspek keselamatan dan kesiapsiagaan bencana, Nadma menerima peruntukan RM460 juta, manakala RM2.2 bilion disediakan untuk melaksanakan 43 projek tebatan banjir di seluruh negara.
Dalam sektor perkhidmatan awam, Kementerian Pendidikan menjadi penerima peruntukan terbesar dengan RM66.2 bilion, diikuti Kementerian Kesihatan dengan RM46.5 bilion yang antaranya memperuntukkan pelantikan tetap 4,500 doktor kontrak tahun depan.
Belanjawan 2026 merupakan belanjawan keempat di bawah Kerajaan Madani dan pertama disusun dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13. Bertemakan “Belanjawan Rakyat”, ia melibatkan RM470 bilion perbelanjaan kerajaan yang merangkumi RM338.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM81 bilion bagi pembangunan.
Perbelanjaan kerajaan itu turut diperkukuh melalui pelaburan syarikat berkaitan kerajaan bernilai RM30 bilion, kerjasama awam-swasta (RM10 bilion) serta sumbangan badan berkanun persekutuan dan syarikat-syarikat milik Menteri Kewangan Diperbadankan (RM10.8 bilion).