Kerajaan Sedia Bentang Dasar Penubuhan Ombudsman Malaysia kepada Jemaah Menteri

Oleh SHAZLIN AZIZ

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri kini dalam proses memuktamadkan dasar bagi menubuhkan Ombudsman Malaysia, sebelum ia dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menjelaskan bahawa cadangan tersebut merupakan satu usaha reformasi institusi penting bagi memperkukuh sistem pengurusan dan penyiasatan aduan melibatkan agensi penguatkuasaan.

Beliau berkata, Ombudsman Malaysia dicadang diwujudkan sebagai sebuah entiti bebas yang menyatukan peranan utama dua badan sedia ada iaitu Biro Pengaduan Awam (BPA) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Cadangan itu turut mengambil kira empat komponen utama dalam pengendalian aduan secara menyeluruh.

Menurut Azalina, struktur baharu itu akan meliputi pengurusan aduan salah tadbir yang kini di bawah bidang kuasa BPA, serta siasatan terhadap salah laku pegawai penguat kuasa seperti yang dijalankan EAIC. Selain itu, Ombudsman juga akan berfungsi sebagai penyelaras pelaksanaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dan menjadi badan kawal selia bagi Akta Kebebasan Maklumat.

“Penubuhan Ombudsman Malaysia diharap dapat menutup kelemahan dalam sistem sedia ada sambil mengukuhkan perlindungan terhadap pemberi maklumat. Ini juga selaras dengan amalan antarabangsa dalam mempertingkatkan tahap integriti dan tadbir urus negara,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Teresa Kok (PH–Seputeh) mengenai sama ada kerajaan bercadang menambah baik saluran aduan orang awam terhadap pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen dan agensi penguat kuasa lain, selain jawatankuasa aduan dalaman yang sedia ada.

Mengulas fungsi EAIC, Azalina menjelaskan bahawa suruhanjaya berkenaan ditubuhkan di bawah Akta 700 bagi menerima dan menyiasat aduan salah laku melibatkan pegawai penguat kuasa. Mengikut peruntukan Seksyen 4(1) akta sama, EAIC boleh mengendalikan siasatan, mengadakan sesi pendengaran serta melaksanakan pemantauan tatacara penguatkuasaan.

Selain menerima aduan, EAIC turut diberi kuasa menjalankan pengauditan terhadap amalan agensi penguatkuasaan, serta menilai dan mengesahkan aduan berkaitan pelanggaran prosedur. Suruhanjaya itu juga boleh menjalankan lawatan ke premis agensi bagi tujuan pemeriksaan dan penilaian.

Azalina berkata, melalui struktur Ombudsman Malaysia kelak, keseluruhan mekanisme aduan awam akan diperkemas dan dipusatkan, sekali gus meningkatkan ketelusan serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan negara.