PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM200 juta bagi menaik taraf kemudahan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan maahad tahfiz di seluruh negara yang berdepan masalah infrastruktur uzur dan tidak selamat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tersebut amat diperlukan memandangkan lebih 300,000 pelajar di institusi pendidikan agama rakyat terkesan akibat keadaan kemudahan yang daif, meskipun sekolah berkenaan tidak berada di bawah sistem pendidikan kebangsaan.
Menurut beliau, dana berkenaan akan digunakan bagi membaik pulih ribuan SAR, maahad tahfiz serta institusi berkaitan yang memerlukan perhatian segera demi kebajikan pelajar.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Januari serta Amanat Tahun 2026, di sini, pada Isnin.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, keputusan pentadbiran terdahulu yang menghentikan bantuan kepada sekolah-sekolah berkenaan telah memberi kesan besar terhadap kebajikan pelajar serta masa depan pendidikan mereka.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya mengadakan libat urus berterusan dengan pihak sekolah terlibat bagi memperkukuh aspek kurikulum, kokurikulum, kualiti pengajaran dan kebajikan tenaga pengajar.
Dalam pengumuman sama, Anwar turut memaklumkan peruntukan tambahan disalurkan kepada sekolah vernakular yang berdepan isu kemudahan uzur, melibatkan RM80 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Beliau berkata, SJKC kini menjadi pilihan pelajar pelbagai kaum termasuk Bumiputera dan masyarakat India, manakala sebahagian SJKT pula memerlukan bantuan segera walaupun jumlah sekolahnya lebih kecil.
Menurut Anwar, semua kerja naik taraf akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), dengan penekanan terhadap kawalan margin harga serta keutamaan penggunaan bahan dan produk tempatan.