Kerajaan Salur RM100 Juta Naik Taraf Bilik Guru Seluruh Negara – PM

Oleh ADINDA

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi menaik taraf kemudahan bilik guru di sekolah-sekolah seluruh negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil maklum bahawa lebih 30 peratus bilik guru berada dalam keadaan tidak selesa dan berisiko dari segi keselamatan.

Menurut beliau, langkah berkenaan selari dengan usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengurangkan beban pentadbiran guru serta meningkatkan kebajikan warga pendidik.

“Kita sedar KPM sedang melaksanakan inisiatif mengurangkan beban tugas pentadbiran guru. Maka sewajarnya, selepas penambahbaikan gaji, kemudahan guru juga perlu diberi perhatian, khususnya bilik guru.

“Oleh itu, kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM100 juta bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan KPM akan mengenal pasti lima Sekolah Kebangsaan (SK) dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di setiap daerah sebagai fasa awal pelaksanaan projek naik taraf berkenaan.

Beliau turut menyentuh isu kemudahan asas sekolah yang sering dipersoalkan, termasuk keadaan tandas, sambil mengingatkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan RM1 bilion pada 2023 bagi menangani masalah tersebut.

“Setiap kali saya turun solat Jumaat, pelajar sekolah akan datang dan saya bertanya sama ada isu ini masih berlaku. Jadi kita akan terus memantau dan melakukan penambahbaikan,” katanya.

Anwar menjelaskan bahawa peruntukan berkenaan tidak melibatkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Sains (SMS).