Kerajaan Rancang Kemasukan Tahun Satu Pada Usia Enam Tahun Mulai Tahun Depan

Oleh AHMAD ISMAIL

PUTRAJAYA: Kerajaan merancang untuk melaksanakan penstrukturan semula peringkat awal pendidikan apabila kemasukan ke prasekolah ditetapkan pada usia lima tahun dan Tahun Satu bermula seawal enam tahun, bermula tahun hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan bahawa pelaksanaan perubahan tersebut tidak diwajibkan buat masa ini, bagi memberi tempoh penyesuaian kepada ibu bapa serta pihak berkepentingan, khususnya warga pendidik.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan ekosistem pendidikan bersedia sepenuhnya sebelum perubahan dilaksanakan secara menyeluruh.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035 yang berlangsung di sini, hari ini.