KUALA LUMPUR, 25 Julai 2025 – Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa himpunan anjuran pembangkang yang dijadual berlangsung esok akan dihormati dan diraikan sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang sihat di negara ini.
Perdana Menteri dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa pihak berkuasa perlu memberi laluan kepada perhimpunan aman tanpa sekatan tidak wajar.
Himpunan yang dinamakan “Turun Anwar” itu dijangka berlangsung di ibu negara dan menerima pelbagai reaksi daripada pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memaklumkan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima puluhan laporan berhubung perhimpunan tersebut, namun komited untuk memudah cara dan memastikan kelancaran serta keselamatan semua pihak yang terlibat.
“Kita akan memastikan keselamatan peserta himpunan dan orang awam yang berada di sekitar lokasi terlibat terjamin sepanjang tempoh berkenaan. PDRM bertindak sebagai pemudah cara dan tidak akan menimbulkan sebarang provokasi.”
Menurutnya, anggaran kehadiran peserta sekitar 10,000 hingga 15,000 orang, berbeza daripada dakwaan penganjur yang menyasarkan lebih setengah juta orang.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut memaklumkan bahawa semua perkhidmatan pengangkutan awam termasuk KTMB dan Prasarana akan beroperasi seperti biasa, tanpa sebarang sekatan atau penggantungan operasi.
“Kerajaan Madani mempertahankan hak kebebasan berhimpun termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Kita tidak boleh kembali kepada zaman yang menindas demokrasi sehingga Parlimen pun ditutup.
Yang lebih penting, pengangkutan awam kita harus terus berfungsi agar majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan pembangkang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Langkah terbuka kerajaan ini menandakan peralihan besar daripada pendekatan keras terhadap demonstrasi jalanan sebelum ini, sekali gus mencerminkan prinsip keterbukaan dan kepercayaan terhadap rakyat yang matang dalam menggunakan ruang demokrasi.
Penganalisis politik melihat pendekatan ini sebagai isyarat bahawa Kerajaan Madani bukan sahaja mempertahankan hak rakyat berhimpun, tetapi juga sanggup memudahcara penganjuran oleh pembangkang, walaupun ia bertujuan mengkritik kepimpinan negara.