RAUB — Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 permainan dalam talian popular, termasuk Roblox, susulan insiden tragis membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang parah dikelar dan ditikam oleh abangnya sendiri, dipercayai terpengaruh dengan permainan tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berpeluk tubuh terhadap isu keselamatan digital yang melibatkan kanak-kanak, dan kini bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meneliti mekanisme kawal selia terbaik serta paling pantas untuk dilaksanakan.
“Kita sedang meneliti kerangka kawal selia yang paling sesuai. Berikan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat, namun yang pasti kerajaan tidak akan berdiam diri,” katanya kepada pemberita, menurut laporan Bernama.
Fahmi turut mendedahkan bahawa kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat permainan Roblox, berikutan insiden yang menggemparkan di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat itu.
“Mereka (wakil Roblox) agak gementar kerana pada hari pertemuan itu, laporan berita menyatakan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun mencederakan adiknya akibat pengaruh permainan tersebut. Saya sendiri telah melarang anak saya bermain Roblox dan memadam aplikasi itu daripada semua peranti di rumah,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kerajaan belum membuat keputusan rasmi mengenai tindakan terhadap platform permainan berkenaan, sambil menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka.
Dalam pada itu, Fahmi berkata SKMM juga akan memanggil penyedia aplikasi OMI untuk memberi penjelasan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh selepas berkenalan dengan lelaki dewasa melalui aplikasi tersebut.
“Aplikasi seperti OMI perlu diletakkan di bawah kawal selia kerana kita tidak mahu kejadian sebegini berulang. SKMM sedang meneliti perkara ini, dan difahamkan aplikasi tersebut masih belum dikategorikan di bawah kawal selia rasmi,” katanya.
Fahmi turut menegaskan bahawa cabaran utama kerajaan kini bukan sekadar menghalang kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial, tetapi juga memastikan sistem verifikasi umur dan pengesahan identiti pengguna berfungsi dengan lebih berkesan.
“Setiap platform seperti Facebook dan TikTok mempunyai mekanisme tersendiri, namun setakat ini ia masih belum benar-benar meyakinkan,” ujarnya.