PETALING JAYA — Kerajaan sedang meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi bagi barangan asas seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat selepas memastikan keberkesanan program subsidi bahan api melalui BUDI95 dan diesel bersasar.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api berjalan lancar sebelum diperluaskan kepada barangan keperluan lain.
“Kerajaan ingin memastikan setiap langkah penstrukturan subsidi dilakukan dengan teliti bagi mengelak ketirisan dan memastikan manfaat hanya diterima mereka yang benar-benar layak,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, di Dewan Rakyat, hari ini.
Lim berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi yang lebih menyeluruh akan memberi ruang kepada kerajaan memperkukuh sistem pemantauan dan keberkesanan pengagihan subsidi, selain meningkatkan kecekapan penggunaan dana awam.
Bagi menjamin barangan bersubsidi sampai kepada golongan sasar, kerajaan turut meningkatkan aktiviti penguatkuasaan melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk pelaksanaan Op Tiris dan Kita Gempur bagi membanteras sebarang bentuk penyelewengan atau penyeludupan barangan bersubsidi.
Selain itu, katanya, kerajaan juga menumpukan usaha memastikan bekalan barangan asas mencukupi di pasaran menerusi program Jualan Rahmah Madani yang kini diperluaskan.
“Mulai tahun 2025, program Jualan Rahmah akan diadakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding dua kali sebulan bagi setiap kawasan Parlimen sebelum ini,” jelasnya.
Beliau menegaskan, langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada strategi penyusunan semula sistem subsidi negara ke arah pendekatan lebih bersasar, mampan dan adil bagi mengimbangi kesejahteraan rakyat serta kestabilan fiskal negara.