Kerajaan memutuskan untuk menghentikan kelulusan pusat data baharu yang tidak melibatkan elemen teknologi tinggi dan kecerdasan buatan (AI), susulan kebimbangan terhadap penggunaan tenaga elektrik dan air yang semakin meningkat.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata langkah itu penting bagi mengawal pertambahan permintaan utiliti yang boleh memberi tekanan besar kepada sistem bekalan tenaga dan air negara.
Menurut beliau, dasar mengehadkan kelulusan pusat data bukan berasaskan AI telah dilaksanakan sejak kira-kira satu hingga dua tahun lalu.
“Permohonan yang membawa nilai tambah dari segi teknologi tinggi dan AI lebih mudah dipertimbangkan. Namun, semua cadangan baharu yang tidak mempunyai elemen tersebut telah dihentikan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh, semasa sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar turut memaklumkan bahawa negara masih mempunyai kapasiti bekalan tenaga yang mencukupi untuk menampung permohonan baharu dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
Dalam masa yang sama, Kerajaan sedang merancang strategi jangka panjang bagi memastikan kelangsungan bekalan tenaga, antaranya melalui pembangunan Grid Tenaga ASEAN serta usaha mendapatkan sumber tenaga dari Sarawak bagi memenuhi keperluan masa depan.
Mengulas cadangan supaya satu Rang Undang-Undang digubal bagi menetapkan piawaian kecekapan tenaga khusus untuk pusat data berasaskan AI, Perdana Menteri berkata perkara itu akan diteliti dan diberi perhatian sewajarnya.