Kerajaan Mula Pulangkan Hasil Kepada Rakyat Seperti Dijanjikan – Fahmi

Oleh NOR SITI HAZLINDA

KUALA LUMPUR, 23 Julai 2025 – Hasil usaha gigih kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memperkukuh ekonomi negara akhirnya membuahkan hasil.

Ketika ekonomi mula menunjukkan pemulihan ketara selepas pelbagai langkah penstrukturan dan usaha menarik pelaburan asing, kerajaan kini mula memulangkan semula manfaat itu kepada rakyat, seperti yang dijanjikan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pengumuman khas Perdana Menteri hari ini adalah bukti nyata kepekaan Kerajaan MADANI terhadap keperluan rakyat dan komitmen berterusan untuk meringankan beban mereka.

“Langkah-langkah yang diumumkan adalah hasil pertimbangan teliti, berasaskan prinsip keadilan sosial dan kemampanan ekonomi. Ia mencerminkan keseimbangan antara usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara dan keutamaan menjaga kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Antara inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri termasuk bantuan tunai one-off sebanyak RM100 kepada rakyat dewasa, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter menjelang akhir September, tambahan RM300 juta untuk Program Jualan Rahmah MADANI, serta jaminan tiada kenaikan tol sepanjang tahun 2025.

Fahmi menyifatkan pengumuman itu sebagai hadiah kelegaan buat rakyat, khususnya dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bakal tiba.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas langkah-langkah berani ini. Ia bukan sahaja memberi kelegaan kepada rakyat tetapi juga merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan ketahanan fiskal negara dalam menghadapi ketidaktentuan global,” jelas beliau.

Beliau turut menekankan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berhenti setakat ini, sebaliknya terus menggagaskan agenda pembangunan menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan Belanjawan Malaysia MADANI yang sedang digarap.

Langkah ini membuktikan bahawa janji bukan sekadar retorik, dan apabila keadaan mengizinkan, kerajaan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim tidak teragak-agak untuk menunaikannya demi rakyat.