PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan Madani kekal komited untuk memastikan keharmonian dalam masyarakat majmuk terus dipelihara sebagai asas kepada pembangunan negara, di samping memperkukuh pertumbuhan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, kepelbagaian yang wujud dalam kalangan rakyat Malaysia harus terus diraikan dan dijadikan kekuatan bersama dalam usaha membawa negara ke hadapan dengan lebih stabil dan inklusif.
Anwar berkata, kerajaan akan meneruskan langkah-langkah strategik dengan penuh keyakinan serta bekerjasama rapat bersama rakyat bagi merealisasikan harapan dan aspirasi baharu negara pada tahun ini.
Komitmen itu dizahirkan menerusi satu hantaran di laman Facebook beliau sempena sambutan tahun baharu, sambil mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Inilah iltizam kerajaan Madani untuk Malaysia,” katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam perkongsian sama, Anwar turut memuat naik sebuah video berdurasi satu minit 47 saat yang merakamkan kehadiran beliau bersama orang ramai pada sambutan ambang tahun baharu, yang turut menjadi pencetus awal kepada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Kempen berkenaan dimulakan secara rasmi menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, sebuah acara sambutan berskala besar yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur dan disambut meriah oleh orang ramai.
Penyertaan Perdana Menteri dalam acara kira detik itu dilihat sebagai simbol permulaan usaha kerajaan untuk merangsang momentum sektor pelancongan negara, dengan sasaran menarik 43 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada tahun ini.