Kerajaan Madani pacu sinergi industri berimpak tinggi Malaysia–Turkiye

Oleh ADINDA

ISTANBUL: Malaysia dan Turkiye sepakat untuk memperdalam kerjasama dalam sektor strategik dengan menumpukan kepada bidang pertahanan, tenaga dan teknologi tinggi melalui pendekatan saling melengkapi kekuatan industri kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Turkiye merupakan antara negara yang berada di hadapan dalam pembangunan teknologi pertahanan, aeroangkasa serta industri berkaitan nuklear.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada sesi mesyuarat meja bulat bersama ketua-ketua industri di sini, hari ini.

Menurut Anwar, kelebihan tersebut membuka ruang luas untuk mewujudkan sinergi bersama, khususnya dengan memberi penekanan kepada teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), di samping memanfaatkan keupayaan Malaysia dalam sektor tenaga, semikonduktor serta industri elektrik dan elektronik (E&E).

Beliau berkata, Malaysia kekal sebagai pemain utama di peringkat serantau dalam bidang semikonduktor dan E&E, selain menjadi destinasi pelaburan terbesar dari Amerika Syarikat.

Anwar menegaskan, gabungan kekuatan industri Turkiye dalam pertahanan, pembuatan dan pembinaan bersama keupayaan teknologi tinggi serta sumber tenaga Malaysia mampu membentuk asas kerjasama jangka panjang yang berfokus kepada hasil dan nilai tambah ekonomi.

Katanya, pendekatan tersebut bukan sahaja berpotensi meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala, malah turut memperkukuh kedudukan kedua-dua negara sebagai hab strategik di rantau masing-masing.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan kerjasama berkenaan akan digerakkan melalui penglibatan aktif sektor swasta, perkongsian industri serta pelaburan bersama yang mampu menjana pulangan ekonomi tinggi kepada Malaysia dan Turkiye.

Dalam pada itu, Anwar berkata hubungan erat antara syarikat dari kedua-dua negara menjadi pemangkin penting kepada pertumbuhan perdagangan, pelaburan serta pemindahan teknologi, sekali gus memperkukuh asas pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

Beliau turut mengalu-alukan syarikat Turkiye untuk memperluaskan kehadiran dan meningkatkan pelaburan di Malaysia dengan memanfaatkan persekitaran pelaburan yang stabil, tenaga kerja berkemahiran serta kedudukan strategik negara sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.

Menurut Anwar, Kerajaan Madani komited untuk memudah cara urusan perniagaan melalui proses yang lebih cekap, telus dan mesra pelabur bagi memastikan setiap pelaburan direalisasikan memberi manfaat ekonomi, limpahan nilai serta peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat kedua-dua negara.

Mesyuarat meja bulat itu disertai 46 syarikat Turkiye termasuk pemain utama seperti Defence Technologies Engineering and Trade Inc (STM), Turkish Aerospace Industries Inc (TAI) dan ASELSAN, selain tujuh syarikat dari Malaysia.

Sesi berkenaan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dan turut dihadiri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba di Istanbul sekitar jam 2 petang waktu tempatan bagi menyertai beberapa program rasmi, sekali gus menandakan penutup lawatan rasmi beliau ke Turkiye atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Bagi tempoh Januari hingga November 2025, jumlah perdagangan dua hala Malaysia–Turkiye mencecah RM21.2 bilion, menjadikan republik itu antara rakan ekonomi penting Malaysia.

Pada 2024, Turkiye muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat, destinasi eksport utama serta sumber import keempat terbesar, dengan nilai perdagangan keseluruhan RM24.15 bilion.