PUTRAJAYA: Pemeliharaan kampung-kampung tradisi Melayu di Wilayah Persekutuan, termasuk Kampung Baru, akan terus menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Beliau memberi jaminan bahawa usaha mengekalkan warisan dan identiti komuniti tempatan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan diteruskan selari dengan pembangunan bandar yang sedang dilaksanakan.
Hannah berkata komitmen itu selaras dengan rekod perkhidmatannya sebelum ini sebagai Ahli Parlimen Segambut, khususnya dalam mempertahankan kepentingan kampung tradisi Melayu seperti Kampung Sungai Penchala.
“Saya faham kepentingan kampung tradisi Melayu dan rekod perkhidmatan saya boleh dirujuk. Saya sentiasa menegaskan bahawa kampung-kampung ini perlu dipelihara,” katanya kepada media selepas melapor diri secara rasmi bersama timbalannya Datuk Lo Su Fui, hari ini.
Menurut beliau, pembangunan komersial bukan sesuatu yang sukar dilaksanakan, namun kampung tradisi Melayu semakin berkurangan dan perlu dilindungi sebagai warisan serta identiti masyarakat bandar.
“Bangunan komersial boleh dibina di banyak tempat, tetapi kampung tradisi semakin sukar ditemui. Namun semua perkara perlu ditangani mengikut kerangka undang-undang,” katanya.
Berhubung isu Kampung Baru, Hannah berkata pihaknya akan mendapatkan taklimat lengkap daripada Penasihat Undang-Undang dan agensi berkaitan sebelum sebarang pendirian atau keputusan dimuktamadkan.
Beliau menjelaskan bahawa isu tersebut telah lama dibangkitkan dan beberapa kali dibahaskan di Parlimen, justeru pendekatan berhati-hati dan menyeluruh perlu diambil.
Hannah turut memaklumkan perbincangan awal telah diadakan bersama Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Ghani, dan semua usaha yang telah dimulakan oleh bekas menteri Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa akan diteruskan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh diputuskan oleh satu parti sahaja kerana ia melibatkan Kerajaan Perpaduan.
“Ini bukan keputusan unilateral. Semua perkara perlu dibincangkan secara bersama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Hannah turut menekankan kepentingan menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan yang selamat dan selesa untuk didiami oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan warga emas.
Beliau menjelaskan sokongannya terhadap pembangunan tidak bermakna mengabaikan aspek kelestarian, sebaliknya menekankan pembangunan yang bertanggungjawab dan mampan.
“Kita perlu peka terhadap isu alam sekitar seperti banjir kilat dan tanah runtuh. Pembangunan yang tidak mampan hanya akan membawa kerugian besar kepada penduduk,” katanya.
Menurut Hannah, pentadbirannya akan memberi keutamaan kepada penambahbaikan perkhidmatan asas perbandaran agar penduduk merasakan bayaran cukai taksiran yang dikenakan memberi pulangan setimpal.
Beliau turut menegaskan kepentingan penglibatan wakil rakyat, khususnya Ahli Parlimen, sebelum sebarang kelulusan pembangunan diberikan bagi memastikan suara penduduk setempat didengar dan dihormati.