Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah yang mengiktiraf hak rakyat Palestin dan menegaskan
ketidak sahihan penjajahan Zionis Israel ke atas wilayah Palestin merupakan satu keputusan bersejarah buat dunia.
Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS), dalam satu kenyataan berkata keputusan ini dilihat sebagai kemenangan besar bagi rakyat Palestin
Ia juga memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap usaha mereka untuk mendapatkan keadilan dan hak asasi manusia.
“Malaysia berjanji akan terus mendukung perjuangan rakyat Palestin di peringkat antarabangsa demi mencapai keamanan dan keadilan yang diimpikan” kata pusat kajian itu dalam satu kenyataan.
Dalam keputusannya, ICJ memutuskan bahawa polisi penempatan Israel melanggar Artikel 49 Konvensyen Geneva Keempat, yang jelas melarang pemindahan penduduk negara penjajah ke wilayah yang didudukinya.
Keputusan ini merangkumi Gaza, Baitulmaqdis Timur, dan Tebing Barat, menegaskan bahawa kawasan-kawasan tersebut tidak boleh dipisahkan di bawah undang-undang antarabangsa.
Keputusan ini menuntut agar penjajahan tersebut dihentikan segera, menetapkan satu titik penting dalam undang-undang antarabangsa.
“Dengan ini, tindakan Israel yang mengilhak Baitulmaqdis Timur untuk kedutaan mereka diisytiharkan sebagai haram, meskipun telah diakui oleh Amerika Syarikat,” ujar kenyataan itu lagi.
Malaysia, melalui Kementerian Luar Negeri, menyambut baik keputusan ini sebagai langkah penting ke arah keadilan bagi rakyat Palestin.
Kementerian tersebut menekankan bahawa langkah seterusnya yang perlu diambil adalah untuk menghapuskan penempatan haram di tanah Palestin dan memulakan proses pembebasan wilayah yang diduduki.
Dalam keputusan tersebut, ICJ turut mengkritik negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain, dan Jerman yang memberi sokongan kepada Israel, menyifatkan tindakan ini sebagai penglibatan dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa.
ICJ menegaskan perlunya tindakan tegas terhadap Israel sekiranya negara itu terus mengabaikan keputusan ini, termasuk kemungkinan menggantung keahlian Israel dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).