Kentut sambil berjalan tanda usus sihat! Pernah rasa malu bila tiba-tiba ‘terlepas’ angin semasa berjalan? Sebenarnya, itu bukan perkara memalukan — malah boleh jadi petanda usus anda sedang berfungsi dengan baik!
Menurut pakar, berjalan kaki selepas makan bukan sahaja baik untuk pencernaan, tetapi juga membantu usus menyingkirkan gas berlebihan. Ya, termasuk kentut yang ‘tak sengaja’ itu. Aktiviti ringan seperti berjalan juga mampu menstabilkan paras gula dalam darah dan mencegah sembelit.
Bergerak Selepas Makan = Usus Cergas
Dr Tim Tiutan, pakar perubatan dalaman dari Pusat Kanser Memorial Sloan Kettering di New York, menjelaskan bahawa aktiviti ringan seperti menyapu sampah atau berjalan selepas makan boleh memberi manfaat besar kepada sistem penghadaman.
“Berjalan selepas makan menggalakkan pergerakan usus. Ia membantu menolak gas keluar dan mengurangkan risiko sembelit,” katanya.
Pendapat ini turut disokong oleh Dr Christopher Damman, pakar gastroenterologi dari Universiti Washington, yang menekankan bahawa walaupun usus boleh berfungsi sendiri, ia lebih ‘efisien’ apabila badan kita turut bergerak.
“Pergerakan fizikal memberi rangsangan kepada usus untuk bekerja dengan lebih lancar,” ujarnya.
Tak kisahlah anda selesa atau tidak melepaskan angin di tempat awam — itu soal peribadi. Tapi apa yang penting, jangan biarkan usus ‘malas’. Ia perlu dirangsang untuk bekerja dengan lebih baik.
Bonus Tambahan: Bantu Kawal Gula Dalam Darah
Selain membantu penghadaman, berjalan selepas makan juga terbukti berkesan dalam mengawal lonjakan gula dalam darah. Selepas makan, gula daripada makanan akan masuk ke dalam aliran darah, menyebabkan peningkatan paras gula.
Jika seseorang tidak bersarapan, lonjakan ini boleh jadi lebih tinggi ketika waktu makan tengah hari atau malam. Ini boleh membawa risiko komplikasi seperti masalah buah pinggang, mata, dan jantung, terutama bagi individu yang mengalami rintangan insulin.
Menurut Yale Medicine, senaman ringan selepas makan mampu mengurangkan risiko ini secara signifikan.
“Kajian menunjukkan hanya lima minit berjalan kaki atau aktiviti ringan seperti lompat bicu selepas makan sudah cukup untuk bantu mengawal paras gula,” kata Dr Damman.
BACA JUGA :
Siapa sangka Malaysia ‘bagi duit’ kepada Indonesia cecah RM5 bilion
DBKL berdepan masalah besar, tunggakan sewa PPR DBKL cecah 70 juta