Setiap kali memasuki lif, perkara pertama yang kita akan perasan pasti cerminnya, bukan?
Hampir semua lif, terutamanya di bangunan tinggi, dilengkapi dengan cermin besar.
Jika lif tiada cermin, rasa seperti ada yang kurang, kan?
Bagi kebanyakan orang, cermin dalam lif dianggap sebagai hiasan semata-mata
Terutamanya wanita, pasti sering terfikir, “Oh, ini untuk betulkan tudung, rambut atau pakaian.”
Tetapi, pernahkah anda terfikir, mengapa hampir setiap lif yang kita naiki mesti ada cermin? Secara logik, tiada keperluan untuk meletakkan cermin, bukan?
Sebenarnya, cermin dalam lif lebih daripada sekadar hiasan. Terdapat alasan tertentu mengapa hampir setiap lif “wajib” dilengkapi dengan cermin.
Apa Yang Perlu Anda Tahu Tentang Lif?
Untuk memahami sebab sebenar cermin dalam lif, kita perlu mengetahui sejarah lif itu sendiri.
Lif moden yang kita gunakan hari ini adalah hasil dari revolusi teknologi yang panjang. Sejak zaman purba lagi, manusia sudah mencuba untuk mencipta mekanisme untuk mengangkat barang berat ke tempat yang lebih tinggi.
Namun, lif yang kita lihat sekarang sangat berbeza daripada lif zaman dahulu yang hanya bergantung pada tali untuk naik dan turun. Jika tali itu putus, bayangkan betapa menakutkan untuk jatuh dari ketinggian yang tinggi.
Lif yang kita kenali kini mula berkembang pesat selepas seorang jurutera bernama Elisha Otis memperkenalkan sistem brek keselamatan pada tahun 1850-an.
Sistem brek Otis ini akhirnya menjadikan lif lebih selamat dan mampu digunakan di bangunan tinggi.
Kenapa Perlu Ada Cermin Dalam Lif?
Walaupun masalah lif jatuh telah diselesaikan, cabaran baru pula timbul. Bagi individu yang mengalami claustrophobia (takut ruang sempit), lif boleh menjadi pengalaman yang sangat menakutkan, dan cermin dipercayai membantu meredakan masalah ini.
1. Meredakan Perasaan Cemas dan Claustrophobia
Cermin dalam lif direka untuk memberi rasa lebih tenang kepada pengguna. Pantulan pada cermin memberi ilusi ruang yang lebih luas, sekaligus mengurangkan rasa sempit dan terkurung. Pengguna juga dapat mengalihkan perhatian dari ruang kecil tersebut dengan memandang ke arah cermin.
2. Keselamatan Pengguna
Cermin membolehkan kita melihat sekeliling dengan lebih jelas, yang penting terutamanya dalam lif yang sesak. Dengan pantulan cermin, kita dapat memerhatikan pergerakan orang lain dan mengelakkan insiden seperti kecurian atau gangguan fizikal.
3. Memudahkan Pengguna Kerusi Roda
Bagi pengguna kerusi roda, cermin sangat membantu untuk memastikan posisi mereka betul ketika keluar masuk lif tanpa perlu berpusing-pusing. Ini menjadikan pengalaman mereka lebih selesa dan lancar.
4. Membantu Pengguna Mengangkut Barang Besar
Cermin juga berguna ketika mengangkut barang besar seperti perabot atau peralatan.
Dengan pantulan cermin, kita dapat memantau pergerakan barang tersebut dan mengelakkannya daripada melanggar dinding lif atau pengguna lain.
Jadi, selain sebagai hiasan atau tempat untuk bergambar #OOTD, cermin dalam lif sebenarnya mempunyai pelbagai fungsi penting.
Ia adalah penyelesaian kreatif untuk meningkatkan keselesaan, keselamatan, dan pengalaman pengguna lif.
BACA: Kalau dah jodoh tak kemana, pasangan 50 tahun membujang akhirnya bertemu jodoh