Realtime website trackingweb stats

Kenali semut ‘kamikaze’ letupkan diri sendiri, saiz rahang 4 kali lebih besar, hanya ada di Malaysia dan Brunei

Oleh NURAIMAN

Semut kamikaze, juga dikenali sebagai Camponotus saundersi, merupakan sejenis spesis semut yang ditemui di Malaysia dan Brunei.

Semut ini mempunyai tindakan unik iaitu meletupkan diri sebagai tindakan terakhir pertahanan atau penyerangan, merembeskan cecair beracun.

Rahang mulut semut ini hampir 4 kali ganda lebih besar daripada semut biasa.

Istilah “kamikaze” merujuk kepada tindakan tentera Jepun yang mengorbankan diri untuk bangsa dan negara semasa Perang Dunia II.

Dalam konteks semut kamikaze, ia merujuk kepada semut yang mengorbankan diri untuk melindungi koloni mereka.

Sama seperti manusia, semut juga hidup dalam struktur hierarki yang disebut “berkasta.”

Kenali semut 'kamikaze' letupkan diri sendiri, saiz rahang 4 kali lebih besar, hanya ada di Malaysia dan Brunei

Koloni semut terbahagi kepada tiga kumpulan utama, iaitu ratu semut, semut jantan, dan semut pekerja.

Setiap kumpulan mempunyai peranan yang penting dalam memastikan kelangsungan hidup spesies mereka.

Ratu Semut

Ratu semut merupakan fokus utama dalam koloni semut.

Segala tindakan yang dilakukan adalah untuk memastikan proses peneluran berjalan lancar.

Ratu semut adalah ibu kepada semua semut pekerja, dan semut pekerja akan melakukan apa sahaja untuk melindunginya.

Dari sudut evolusi, tindakan ini bukanlah atas dasar kasih sayang, tetapi lebih kepada memastikan penyebaran genetik semut.

Oleh kerana semut pekerja tidak mampu bertelur, ratu semut adalah individu paling penting dalam koloni.

Semut Jantan

Semut jantan ini kelihatan di dalam sarang. Tujuan utama mereka bukanlah untuk menyumbang kepada koloni, tetapi untuk bersatu dengan ratu semut sebanyak yang mungkin.

Apabila tiba masa kematian mereka yang dinantikan, semut jantan akan mati dalam beberapa jam selepas melakukan aktiviti reproduksi bersama ratu semut.

Jika mereka beruntung, mereka mungkin hidup selama beberapa hari. Semut jantan tidak akan bersama dengan ratu semut dari koloni yang sama; sebaliknya, mereka akan mencari ratu semut dari koloni yang berbeza.

Semut Pekerja

Semut pekerja adalah semut betina yang tidak memiliki sayap dan tidak dapat bertelur. Mereka bergantung kepada ratu semut untuk kelangsungan spesies mereka.

Tugas semut pekerja termasuk menjaga ratu semut, telur-telur, larva, dan pupa, menggali terowong dan ruang, serta membesarkan serta melindungi sarang.

Maklumat Mengenai Semut Kamikaze

Camponotus saundersi adalah sejenis spesies semut yang berasal daripada keluarga semut Tukang Kayu, dan ia hanya dapat ditemui di Borneo, Malaysia, dan Brunei.

Spesies ini juga dikenali sebagai semut kamikaze atau Colobopsis explodens, dan ia memiliki kemampuan untuk bertindak secara agresif untuk mempertahankan diri daripada serangan musuh dengan meletupkan dirinya.

Kemampuan ini juga dapat dilihat pada beberapa spesies semut lain daripada keluarga yang sama dan serangga-serangga yang serupa.

Dari segi fizikal, semut kamikaze memiliki kelenjar mandibular (rahang) yang besar, beberapa kali ganda lebih besar daripada saiz semut biasa.

Struktur fizikal ini digunakan sebagai pertahanan dengan menghasilkan rembesan cecair beracun.

Ciri-ciri pertahanan serangga ini termasuk pemusnahan diri melalui proses yang dikenali sebagai autothysis, suatu istilah yang digunakan oleh Maschwitz dan Maschwitz.

Dua buah kelenjar mandibular yang besar di dalam semut ini mengandungi racun yang mengalir ke seluruh badan semut.

*Bagaimana Semut Kamikaze Meletupkan Diri

Tidak semua semut mampu meletupkan diri mereka. Tindakan kamikaze dilakukan oleh semut pekerja.

Apabila terdapat ancaman atau pertempuran berlaku, semut ini akan mengangkat bahagian ekornya ke udara, bersedia untuk bertindak.

Kemudian, semut ini akan bertindak dengan agresif, dengan menekan otot perut mereka sehingga tekanan dalam badan mereka menjadi sangat tinggi.

Akibat daripada tekanan ini, kelenjar mandibular akan membesar dan pada akhirnya meletup.

Akibatnya, racun lengket akan terpacak keluar melalui pelbagai arah dari kawasan kepala semut. Racun ini bersifat korosif dan berperanan sebagai bahan kimia yang akan melumpuhkan pergerakan musuh-musuh yang berdekatan.

Kandungan Rembesan Toksik Beracun

Melalui pemerhatian penyelidik, cecair beracun ini menunjukkan warna putih cerah pada hujung musim hujan. Pada musim kering dan permulaan musim hujan, warnanya menjadi kuning pucat.

Perubahan ketara dalam warna ini mencerminkan perubahan dalam pH dalaman, yang disebabkan oleh perubahan dalam pemakanan semut yang berkaitan dengan musim.

Komposisi sebenar cecair ini masih dalam kajian, tetapi diketahui mengandungi beberapa unsur anti bakteria dan juga beberapa jenis toksin. Jika musuh menelan toksin beracun ini, ia akan mati dengan segera.

Jika cecair ini terkena pada badan musuh, mereka akan menjadi lumpuh sepenuhnya sehingga mati. Biasanya, badan semut kamikaze yang sudah meletup akan melekat pada badan musuhnya.

Siapa sangka bahawa semut juga boleh meletup secara semula jadi. Ia sungguh menarik, bukan? Iaitu ciptaan Allah yang menakjubkan.

Baca:

Heboh Kak Lina Pom Pom ‘undur diri’ dari pentas GV10, rupanya ada ‘plot twist’

Polis ajar kanak-kanak mengaji, ‘hafizah’ jelita dari Serambi Makkah ini tawan hati warganet

Kampung Seri Daik dahulunya indah kini bertukar seram, siap ada kawasan ‘larangan’