Realtime website trackingweb stats

Kekurangan Beras Putih Tempatan Semakin Reda, Penyelesaian Masalah Sedang Dilaksanakan

Oleh ADINDA

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menegaskan isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) ketika ini semakin reda melalui hasil tuaian padi hujung tahun oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Bagaimanapun, beliau menjelaskan penyelesaian masalah itu sedang giat dilakukan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pasaran tempatan.

Beliau yang ditemui semasa menyempurnakan lawatan kerja ke Kebun Komuniti AU2 Taman Keramat berpandangan kekurangan BPT dalam pasaran negara berpunca daripada pembelian panik yang dicetuskan oleh sebuah video yang menyebarkan berita palsu bahawa bekalan beras jenis itu bakal kehabisan.

Selain itu, kementerian juga mengesan trend pengguna yang terpaksa beralih daripada membeli beras putih import (BPI) kepada BPT, ekoran berlaku kenaikan harga mendadak disebabkan tindakan India menghentikan eksport bahan mentah itu.

Situasi berkenaan mendorong pengguna ‘menyerbu’ pasar raya mahupun kedai runcit untuk membeli BPT lebih banyak daripada biasa.

Beliau menjelaskan isu sekuriti makanan tidak akan berkesudahan, termasuk isu ayam, telur, dan mungkin selepas ini, mungkin akan berlaku isu kekurangan bawang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menggalakkan persatuan penduduk atau komuniti setempat untuk memohon Dana Komuniti Madani berjumlah RM1 bilion yang diperuntukkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.