Realtime website trackingweb stats

Kejar ular tengah malam tapi rupanya… – Anggota muda APM ini cerita kisah mistik semasa bertugas

Oleh NOR SITI HAZLINDA

Jarang kita mendengar anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menceritakan pengalaman kerja mereka.

Namun, kisah Muhammad Syahir Ruddin Adlie Abdul Malik, 25, ini memang menyeramkan dan bukan calang-calang orang mampu diuji dengan pengalaman sedemikian.

Katanya, antara pengalaman yang sukar dilupakannya ketika terbabit dalam operasi menangkap ular adalah ketika tugasan pada tengah malam.

Kejar ular tengah malam tapi rupanya... - Anggota muda APM ini cerita kisah mistik semasa bertugas

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Gadong Jaya, di sini, pada tahun 2020 apabila pengadu mendakwa terdapat tiga tedung selar.

“Kami membahagikan tugas menangkap ketiga-tiganya. Saya kejar salah seekor daripadanya dan memang nampak seperti ular.

“Rupa-rupanya apa yang saya nampak itu bukannya ular kerana orang lain yang ada di situ kata ia bukan ular.

“Pada waktu itu, kami balik hanya membawa seekor ular manakala dua lagi dipercayai lembaga lain yang menyerupai reptilia itu,” katanya, dipetik Harian Metro.

Sementara itu, Abdul Qayyum Azmi, 24 pula menceritakan, dia pernah digigit lapan ular ketika operasi menangkap haiwan liar itu.

Namun, ceritanya, dia bernasib baik kerana ia tidak berbisa.

“Sememangnya ibu bapa risau dengan tugasan saya, tetapi saya selalu minta mereka mendoakan supaya semuanya dipermudahkan.

“Sebagai anggota APM, kami perlu bersedia berdepan apa saja tugasan diberi dan yang penting aspek keselamatan perlu diberi keutamaan,” katanya.

Sepanjang musim panas berbahang ketika ini, Pengarah APM Negeri Sembilan, Mohd Nazri Mes Kam berkata, pihaknya menjangkakan kes menangkap ular akan terus meningkat.

“Bila musim panas ini selalunya ular ini akan mencari tempat sejuk atau redup untuk bersembunyi, jadi kita mesti berhati-hati.

“Dalam tempoh dua bulan ini saja, sebanyak 526 kes tangkapan ular diterima dengan Seremban merekodkan kes tertinggi iaitu 432 kes,” katanya.

Sehubungan itu, Nazri menasihatkan mangsa patukan ular supaya bertenang dan mengenal pasti spesis reptilia itu.

Jelasnya, maklumat tersebut akan membantu doktor atau paramedik memberi rawatan yang lebih pantas serta bersesuaian.

Baca:

SST naik bukan alasan, peniaga bazar usah ‘cekik darah’ sebab penguat kuasa KPDN akan berkeliaran!

Rangup & cair di mulut, resipi biskut bangkit jadi pilihan ramai di pagi raya

Pemaju hartanah swasta terbesar China bergelut masalah kewangan, ini nasib menimpa Forest City