Realtime website trackingweb stats

Kedai hujung-hujung je tapi jumlah ‘sales’ Rotiboy KLCC sebulan bakal buat ramai terkejut

Oleh ARIF ABDULLAH

Sejak pengumuman penutupan kedai Rotiboy di KLCC, ramai yang meluahkan rasa sedih kerana tidak lagi dapat menikmati bau pastri yang sedap selepas ini.

Rotiboy telah menjadi fenomena di seluruh Malaysia kerana menawarkan pastri yang lazat pada harga berpatutan.

Jenama tempatan ini juga mendapat sambutan hangat daripada pelancong yang datang ke negara ini.

Dalam sebuah video yang dikongsikan oleh akaun @bfmradio, mereka telah menemu ramah pengasas Rotiboy, Encik Hiro Tan.

Apabila ditanya mengapa jenamanya menjadi popular di Malaysia, beliau berpendapat bahawa rotinya menawarkan pengalaman yang unik dan tiada tandingan.

Kedai hujung-hujung je tapi jumlah 'sales' Rotiboy KLCC sebulan bakal buat ramai terkejut

“Rasanya seperti syurga…. seperti ciuman pertama,” seloroh beliau mengenai reaksi pelanggan selepas mencuba Rotiboy.

Beliau menambah, roti yang dijual mesti sentiasa dalam keadaan ‘fresh’ kerana pengalaman makan akan berubah selepas beberapa minit. Oleh itu, beliau memilih untuk tidak menyediakan perkhidmatan penghantaran bagi memastikan roti sampai dalam keadaan terbaik.

“Ini kerana banyak pihak yang akan mengendalikan produk kami pada masa yang berbeza, dan produk kami mungkin tidak dikendalikan dengan baik,” jelas Encik Hiro Tan.

Selain itu, Encik Hiro Tan juga mendedahkan bahawa bau wangi yang dihasilkan oleh pastri mereka memainkan peranan penting dalam memberikan pengalaman yang unik kepada pelanggan.

Setiap cawangan Rotiboy berjaya menarik minat pengunjung kerana bau yang semerbak.

Resipi Rotiboy, yang diubahsuai dari resipi roti Mexico oleh kakaknya, telah menjadi produk asli buatan Malaysia.

Modal permulaan untuk membuka perniagaan ini adalah sekitar RM150,000, yang membolehkan beliau membuka cawangan pertama di Bukit Mertajam.

Encik Hiro Tan juga mendedahkan bahawa cawangan KLCC khususnya mampu menjana jualan setinggi RM300,000 setiap bulan.

Jumlah jualan minimum yang boleh dicapai adalah sekitar RM35,000 hingga RM40,000, terutama pada outlet di stesen minyak. Mereka perlu menghasilkan sekurang-kurangnya 1,000 hingga 2,000 bun sehari untuk memenuhi permintaan.

Apabila ditanya tentang penutupan cawangan KLCC yang telah beroperasi lebih dari dua dekad, Encik Hiro Tan mengakui bahawa mereka telah menghadapi masalah kewangan sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun cuba bertahan, akhirnya beliau terpaksa membuat keputusan yang berat untuk menutup cawangan tersebut, walaupun dengan rasa pilu dan kecewa.

BACA: