PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dijadual menerima taklimat rasmi daripada Bahagian Ancaman Ekstremis dan Sosial (E2), Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), berhubung dakwaan kewujudan sebuah kumpulan kultus dari Korea Selatan yang sedang disiasat pihak berkuasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, taklimat tersebut dijangka diadakan dalam minggu ini.
Menurut beliau, sebarang maklumat berkaitan isu berkenaan perlu diperoleh daripada sumber berautoriti bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, pendekatan berhati-hati diambil dan beliau tidak mahu merujuk kepada pelbagai sumber yang tidak disahkan.
Saifuddin menjelaskan, Cawangan Khas E2 merupakan unit paling berwibawa dalam menangani isu berkaitan ajaran salah atau sesat kerana peranan utamanya adalah mengesan serta memantau ancaman sedemikian merentasi semua agama.
Beliau menegaskan, sebarang kenyataan lanjut hanya akan dibuat selepas menerima laporan lengkap daripada pihak polis, selaras dengan keperluan memastikan ketepatan maklumat serta tidak menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.