KDN tegaskan tangkapan kes 3R berasaskan laporan awam, bukan tekanan politik

Oleh Ahmad Fahmi

Kementerian Dalam Negeri menolak dakwaan bahawa peningkatan tangkapan melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R) didorong oleh tekanan politik daripada mana-mana pihak.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata tindakan penahanan dibuat susulan aduan orang ramai dan setiap kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Beliau menegaskan bahawa mana-mana individu yang disyaki melakukan kesalahan akan melalui proses siasatan tanpa mengambil kira latar belakang atau kecenderungan politik.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia kekal komited dalam menangani perbuatan yang berpotensi mencetuskan kegentaran awam, menjejaskan keselamatan negara serta mengganggu keharmonian masyarakat.

Shamsul turut menyeru semua pihak agar berwaspada dan tidak mengeluarkan kenyataan menyentuh isu 3R, selain memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara telus dan profesional.

Beliau menjawab soalan tambahan Zulkifly Jusoh di Dewan Rakyat berhubung jumlah tangkapan mutakhir ini yang dilihat lebih tinggi berbanding pertuduhan, termasuk kes membabitkan penyelaras himpunan Gerakan Anti Rumah Ibadat Haram (Garah).

Mengulas perkara itu, beliau menjelaskan setiap tangkapan dan siasatan dilaksanakan berlandaskan undang-undang, tanpa niat mengekang kebebasan bersuara selagi ia tidak melampaui batas dan mengancam kestabilan negara.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan Akta Hasutan 1948, sebanyak 90 tangkapan direkodkan sepanjang 2024 hingga 2025, namun hanya 14 kes diteruskan ke peringkat pendakwaan.

Tambahnya, peningkatan jumlah tangkapan mencerminkan ketegasan pihak berkuasa dalam mengekang penyebaran kandungan sensitif berkaitan 3R daripada berkembang secara tidak terkawal.

Beliau berkata walaupun pertambahan kertas siasatan adalah kecil, angka tangkapan meningkat ketara berikutan penglibatan individu atau kumpulan yang bertindak secara kolektif menyebarkan kandungan berunsur hasutan.

Dalam masa sama, penurunan jumlah pertuduhan menunjukkan pendekatan berhati-hati kerajaan dalam membuat keputusan pendakwaan.

Menurut Shamsul, setiap kes diteliti secara menyeluruh oleh Pejabat Peguam Negara dan hanya kes dengan bukti kukuh dibawa ke mahkamah, manakala kes lain diselesaikan melalui amaran atau pemantauan berterusan.