KUALA LUMPUR, 6 Nov — Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa sebarang cadangan untuk meminda atau memansuhkan Akta Hasutan 1948 (Akta 15) memerlukan kajian dan penelitian terperinci dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses menilai semula undang-undang itu perlu melibatkan pandangan daripada agensi penguat kuasa, badan kehakiman, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil serta orang awam bagi memastikan sebarang keputusan dibuat secara seimbang dan bertanggungjawab.
“KDN sentiasa berusaha menambah baik undang-undang sedia ada, termasuk Akta Hasutan, supaya pelaksanaannya kekal relevan dengan keadaan semasa tanpa menjejaskan hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia.
Beliau berkata, kementerian juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pihak-pihak berkenaan bagi menilai sejauh mana pemakaian Akta 15 masih sesuai dalam konteks sosial dan politik negara hari ini.
“Kajian ini mengambil kira keperluan menyeimbangkan hak rakyat untuk bersuara dengan kepentingan mengekalkan keharmonian masyarakat majmuk serta ketenteraman awam,” katanya.
Saifuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN–Kota Bharu) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan berhasrat meminda atau memansuhkan Akta Hasutan seperti yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan, bagi menghapuskan undang-undang yang dianggap lapuk dan menindas.