Kalau betul anak Melayu, warisan bahasa dan budaya termasuk teka-teki yang memancarkan melangitnya akal budi bangsa mestilah dijaga.
Benda yang sudah jadi kebiasaan dalam hidup pula boleh dijadikan ‘teka teki’ hinggakan secara tersurat nampak seperti tidak logik tetapi sebenarnya masih mematuhi hukum akal.
Walaupun teka-teki yang sekadar menjadi bahan sembang atau mengusik rakan tetapi nenek moyang Melayu dahulu mampu merumuskan benda atau hal yang rencam dalam hanya sebaris ungkapan.
Tidak hairanlah, lebih 100 tahun lalu, sudah ada seorang rakyat British berketurunan Jerman mengumpulkan teka-teki Melayu lama.
O.T Dussek menghimpunkan sejumlah teka-teki ini dalam bukunya, “Long-Chair Malay”yang diterbitkan pada tahun 1918.
Beliau sebenarnya pengetua pertama Sultan Idris Training College (SITC) atau kini Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ya. “Ibu Kandung Suluh Budiman”.
Meneliti teka-teki lebih satu abad lalu, kita dapat melihat bagaimana unsur alam yang melingkungi kehidupan bangsa Melayu dahulu menjadi sumber ilham mereka.
Ada teka-teki dalam buku ini sudah jauh dengan anak Melayu hari ini disebabkan faktor perubahan lingkungan alam. Contohnya, “nasi di bawah, kerak di atas” ialah membakar damar manakala “orang tua mengangkat air” merujuk kepada kincir.
Namun, sebahagiannya pula masih relevan seperti tentang anggota badan, tumbuhan dan benda.
Oleh sebab itu, wajar dipopularkan kembali dengan menyebarkan kepada rakan-rakan dan anak cucu supaya khazanah teka-teki yang menggunakan ayat tepat dan padat itu tidak lenyap dihanyutkan zaman.
Kalau bukan kita, siapa lagi mahu diharapkan? Khazanah bahasa kita dalam apa bentuk sekalipun sebenarnya melangit dan membumi. Jangan kita berjiwa abdi.
Berikut antara 20 teka-teki Melayu menarik yang berusia lebih 100 tahun lampau ini. Cubalah jawab.
Ambil masa, berfikir sejenak dan bandingkan dengan jawapannya di bahagian akhir sekali:
1. Ditutup sebesar kuku, dibuka sebesar alam.
2. Pagar orang kita nampak, pagar kita tiada tampak.
3. Dirasa ada, dipandang tiada.
4. Satu busut berlubang tujuh.
5. Pangkal di atas, pucuk di bawah.
6. Ada air tiada ikan, ada langit tiada bintang.
7. Terlupa dibawa, teringat dibuangkan.
8. Sungguh berair, berkocak tidak.
9. Berpayung bukannya raja, hendak berjalan tiada kaki.
10. Dari kecil berkain, sudah besar bertelanjang.
11. Itu dia, nampak tidak.
12. Kecil kawan, besar lawan.
13. Dua buah masak malam, tiga buah masak siang.
14. Diarak, diusung, ditanam tak tumbuh.
15. Badan di atas, nyawa di bawah.
16. Anak raja berjambul emas.
17. Cabut lubang, tinggal tiang.
18. Ular besar melilit tubuh.
19. Naik kuda tabur bunga.
20. Ular hitam keliling busut.
Jawapan:
1. mata
2. gigi
3. telinga
4. kepala
5. janggut
6. kelapa
7. kemuncup
8. tebu
9. cendawan
10. rebung
11. angin
12. api
13. waktu sembahyang
14. mayat
15. layang-layang
16. pelita
17. cincin
18. tali pinggang
19. kukuran
20. tocang
Baca:
3 selebriti global ini lantang bersuara walau dicop anti-Semitik
Dahsyat grafik kempen boikot di Turki ini, rupanya Starbucks terang-terang sokong pengganas dunia