Seorang jurutera wanita boleh beridentitikan Aqilah seorang yang agak pendiam dan Muslimah namun ada masa dia boleh jadi Daus yang orangnya kuat makan dan mahu orang ikut cakap dia.
Pesakit Dissociative Identity Disorder atau Kecelaruan Identiti Disosiatif (DID) itu rupanya jenuh ‘berperang’ dengan diri sendiri apabila menanggung lebih 20 personaliti bersama watak yang berbeza.
Hanya didiagnosis DID ketika berusia 22 tahun, Sofea (bukan nama sebenar) mengakui personaliti yang dimilikinya ada nama sendiri termasuk dua karakter lelaki.
Berusia 20-an berasal dari Lembah Klang, dia kerap kali dianggap gadis yang mudah berubah ‘mood’.
Sofea kadang-kadang seorang yang ceria, bersifat keanak-anakan, tegas, pendiam, penyayang dan terlalu melindungi orang selain selalu lupa.
Menurutnya, lapor Harian Metro, sifat itu antara karakter dalam lebih 100 personaliti yang ada dirinya sejak remaja.
Jelasnya, personaliti dirinya yang asli adalah seorang yang agak ‘brutal’, berdikari dan boleh bergurau kasar bukannya seorang pemarah.
Namun, dia mengakui sebahagian personaliti lain dalam dirinya ada sedikit persamaan dengan diri yang sebenar.
“Watak atau identiti itu boleh bertukar pada bila-bila masa dan dalam sehari lebih 10 kali dalam jangka tempoh tertentu.
“Ketika sekolah sebelum tahu mengenai DID rakan selalu cakap saya seperti ‘blur’ dan perangai berubah-berubah.
“Paling ketara apabila saya selalunya jarang ingat apa yang saya buat atau cakap sebelum ini.
“Semua itu berlaku apabila saya berasa terlalu tertekan atau ada masalah. Selepas itu, atas kesedaran saya pergi sebuah hospital universiti untuk pemeriksaan sebelum disahkan mempunyai DID,” katanya.
Katanya, dia didiagnosis mempunyai lebih 100 personaliti dengan ada sebahagiannya mempunyai nama dan karakter sendiri termasuk turut mempunyai identiti lelaki.
“Antara identiti wanita yang saya ada ialah Aqilah seorang yang agak pendiam, pemalu dan Muslimah serta Adira seorang yang lebih tegas dan straight to the point manakala watak lelaki saya ada nama Daus yang orangnya kuat makan dan juga tegas, malah mahu orang ikut cakap dia.
“Daus juga seorang yang suka bergaduh, malah watak ini juga bergaduh dengan ibu bapa saya selain Black seorang yang sangat kasar, tetapi manis dan karakter lelaki tidak memikat wanita sebaliknya lebih kepada melindungi dan semua watak tiada pasangan.
“Pernah juga saya bertukar identiti ketika di tempat kerja dan untungnya watak itu mempunyai kemahiran kerja sama seperti saya, cuma hasil dan cara menyelesaikan kerja tidak sebagus saya yang asli,” katanya lagi.
Sehingga kini Sofea masih menjalani terapi dan pemeriksaan di sebuah hospital universiti serta swasta.
Bahkan, dia turut mengakui keadaannya semakin terkawal selain identiti itu juga sudah jarang berada dalam dirinya.
Katanya, dia bersyukur berada dalam lingkungan keluarga dan rakan yang sentiasa memberi sokongan.
Malah, mereka menerimanya seperti insan lain biarpun dirinya mempunyai penyakit yang tergolong antara masalah mental.
“Ayah saya seorang yang sangat terbuka dan dia yang bawa saya berjumpa doktor.
“Malah, dia kata ini bukan ujian untuk saya saja sebaliknya untuk keluarga kami.
“Mak pula pada mulanya agak sukar terima, tetapi lama-kelamaan dia memahami saya, malah adik-beradik juga selalu beri sokongan.
“Rakan juga begitu sentiasa ada dengan saya, malah saya tak sangka ada lelaki yang sanggup menerima saya biarpun tahu keadaan saya dan dia yang banyak membantu saya. Jujur saya cakap saya juga tidak selesa dengan keadaan diri.
“Sedih juga sebab ada benda yang saya buat sebelum ini ada yang saya tak ingat,” katanya.
Sofea juga memberitahu bapanya turut pernah membawanya mendapatkan perubatan Islam untuk ketenangan jiwa dan rohaninya sebagai rawatan alternatif.
Biarpun tidak malu dengan dirinya, dia memilih untuk tidak bercerita secara terlalu terbuka mengenai kesihatan mentalnya itu.
Sofea mengakui bimbang orang lain tidak memahami keadaannya termasuk majikannya.
Baca:
Kakak Neelofa kongsi rahsia kekal ramping dan sihat
Kisah Pak Din dari Pendang, ‘gelandangan mewah’ 18 tahun tinggal dalam kereta
Patut pun Israel takut, kehebatan terowong Hamas buat zionis terkejut