SERDANG – Pembentukan Kabinet baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai sebuah pasukan kerja berfungsi yang menggabungkan pemimpin berpengalaman dan generasi muda bagi memastikan pelaksanaan agenda Malaysia MADANI berjalan secara berkesan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, Perdana Menteri memberi penekanan kepada pembentukan Kabinet yang bersifat inklusif, merangkumi pemimpin kanan, tokoh berpengalaman serta bakat muda supaya pentadbiran kerajaan dapat bergerak sebagai satu pasukan yang mantap.
Menurut beliau, kombinasi tersebut penting bagi memastikan setiap dasar dan agenda pembaharuan yang dirangka dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Perdana Menteri yang mahu melihat perubahan sebenar dalam tadbir urus negara melalui kerjasama semua peringkat kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran dan Latihan Jurulatih Utama (Training of Trainers) Kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum di Dewan Besar Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Dalam pada itu, Zambry turut mengucapkan tahniah kepada bekas timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud yang kini diberi amanah sebagai menteri bertanggungjawab bagi Sabah dan Sarawak.
Beliau juga menyambut baik pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, sambil menyifatkan kehadiran pemimpin muda itu sebagai pelengkap kepada pasukan kementerian.
Menurut Zambry, latar belakang Adam Adli dalam aktivisme pelajar memberikan perspektif berharga dalam merangka dasar pendidikan tinggi, dan beliau yakin kerjasama yang baik dapat diwujudkan demi memperkukuh sistem pengajian tinggi negara.
Tambahnya, keutamaan kementerian adalah memastikan pendidikan tinggi berfungsi secara optimum bagi menjamin masa depan generasi muda serta menyokong pembangunan negara secara mampan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet dengan menjelaskan keperluan untuk menyesuaikan barisan Jemaah Menteri agar kerajaan dapat terus berfungsi dengan cekap, selain memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi dan penyelesaian isu rakyat.