Realtime website trackingweb stats

Johan Ghazali raih kontrak RM467,000 menjelang umur 17 tahun, kenali Jojo si jaguh termuda muay thai negara

Oleh NURAIMAN

Bakal menjejak usia 17 tahun pada 14 November depan, jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sudah berjaya mendapatkan kontrak ONE Championship Thailand bernilai AS$100,000 (RM467,000).

Pencapaian remaja yang mesra dikenali sebagai Jojo itu sekali gus menjadikan beliau sebagai atlet termuda me­raih kejayaan tersebut.

Anak kedua daripada empat adik beradik berkenaan mendapat kontrak tersebut selepas menumpaskan Temirlan Bekmurzaev secara knockout (KO) dalam ONE Championship Thailand, 6 Oktober lalu.

Jojo berjaya menumbuk deras di bahagian perut Bekmurzaev pada pusingan kedua, yang menyaksikan petarung dari Russia itu gagal bangun meneruskan pertarungan.

Memang rezeki pelajar SMK St Thomas, Kuching itu, kejayaan tersebut melayakkan Jojo yang mewakili Rentap Muaythai Gym berpangkalan di Sarawak menerima bonus kemenangan 350,000 baht (RM46,500).

Johan sendiri ketika ditemubual sukar untuk mempercayai kontrak yang berjaya digenggam itu memandang­kan usianya masih terlalu muda.

“Ini gila, ini gila…Saya akan memasuki usia 17 tahun bulan hadapan. Saya mendapat kontrak ONE Championship sebelum memiliki lesen memandu, jadi ini sangat gila.

“Sejujurnya sejak memulakan karier, saya sentiasa bersedia untuk kejayaan ini tetapi ini hanya satu permulaan.

“Saya telah buktikan hari ini bahawa Malaysia Boleh! Terima kasih Malaysia,” katanya, dipetik Utusan Malaysia.

Kenali Jojo si jaguh termuda muay thai negara:

1. Petinju berdarah Malaysia di sebelah ayah manakala Amerika Syarikat (AS) dari sebelah ibu.

2. Lahir di Kajang, Selangor dengan ketinggian kini 170 sentimeter (cm).

3. Bermula sejak usia 10 tahun dan sesuai dengan namanya bergelar juara dalam Kejohanan Muay Thai Remaja Dunia IFMA 2022 selepas mengalahkan peserta dari Rusia, Rustam Yunusob.

4. Memenangi empat pertarungan dan pernah menumpaskan tiga peserta Thailand, Samurai Seopal, Tai Sor Jor Piek Uthai dan Padetsuk Fairtex. Dalam empat pertarungan itu, tiga daripadanya dimenangi Jojo secara KO.

5. Mengagumkan penonton apabila hanya memerlukan masa 16 saat untuk mengalahkan Padetsuk Fairtex, 18, dari Thailand melalui pukulan KO dalam pertarungan di negara itu pada 24 Februari lalu.

6. Mencatatkan kemenangan kedua juga menerusi KO pada 26 Mei lalu apabila menjatuhkan lawannya, Tai Sor Jor Piek Uthai, 24, yang menyandang dua kali gelaran juara dunia muay thai.

7. Terus mengundang kekaguman khalayak selepas kemenangan ketiga menumpaskan jaguh Thailand, Samurai Seopal, 18, pada 14 Julai lalu.

Baca:

Simpan dulu hasrat beli kereta, model baharu Produa D66B dan Proton S50 serba pintar akan dilancar dalam masa terdekat

‘Saya ni dahlah berwajah Jawa’, ini jawapan Beto Kusyairy apabila diminta tayang badan

Telinga sering berdengung dan sakit mencucuk ketika naik pesawat, tak hilang walau dah telah air liur, ini langkah segera perlu anda lakukan