KUALA LUMPUR: Pelaburan teknologi dan digital ke Malaysia terus menunjukkan peningkatan hasil kekuatan infrastruktur digital negara, kestabilan politik serta kejelasan dasar yang dilaksanakan kerajaan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kejayaan pelaksanaan inisiatif Rangkaian Digital Nasional (JENDELA) telah menyediakan asas kukuh kepada pembangunan ekonomi digital, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai destinasi strategik bagi pusat data dan pelaburan berteknologi tinggi.
Menurut Fahmi, pelaksanaan JENDELA Fasa 1 dan Fasa 2 memberi impak ketara terhadap peluasan rangkaian gentian optik di seluruh negara, meskipun melibatkan kos yang tinggi, namun ia dilihat sebagai pelaburan jangka panjang demi manfaat rakyat dan ekonomi negara.
“Inisiatif ini menuntut perbelanjaan besar, tetapi kerajaan melihatnya sebagai pelaburan strategik yang memberi pulangan kepada rakyat serta merancakkan pertumbuhan sektor digital,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
JENDELA yang diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021–2025) bertujuan memperkukuh infrastruktur digital negara, meningkatkan kualiti rangkaian 4G, meluaskan akses jalur lebar ke seluruh kawasan termasuk luar bandar serta mempersiapkan Malaysia ke arah penggunaan teknologi 5G secara menyeluruh.
Program bernilai RM21 bilion itu dilaksanakan melalui pembiayaan bersama Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pemain industri telekomunikasi.
Fahmi berkata usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur digital telah meningkatkan daya tarikan Malaysia di mata pelabur antarabangsa, termasuk syarikat keselamatan siber dan teknologi global.
Antara pelaburan yang direkodkan ialah pengembangan ibu pejabat serantau Asia Pasifik BlackBerry dari Kanada serta pembukaan pusat siber serantau oleh Leonardo, syarikat pertahanan dan aeroangkasa dari Itali.
“Pelabur bukan hanya menilai kos dan kemudahan infrastruktur, tetapi turut mengambil kira kestabilan politik, kejelasan dasar dan hala tuju pentadbiran negara. Faktor-faktor ini memainkan peranan besar dalam keputusan pelaburan,” katanya.
Beliau menambah, pendirian geopolitik Malaysia yang berkecuali serta tadbir urus yang stabil di bawah Kerajaan MADANI telah meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk menjadikan negara ini sebagai hab operasi serantau.
Fahmi turut menyatakan keyakinan bahawa Malaysia akan terus menarik lebih banyak pelaburan digital berikutan kedudukan strategik negara, persekitaran ekonomi yang stabil serta infrastruktur digital yang berdaya tahan.
Transformasi Industri Telekomunikasi
Mengulas perkembangan landskap industri, Fahmi berkata syarikat telekomunikasi kini sedang melalui fasa transformasi dengan memperluaskan peranan mereka daripada penyedia perkhidmatan ketersambungan asas kepada pembekal penyelesaian digital dan teknologi bernilai tambah.
Beliau berkata transformasi Telekom Malaysia (TM) daripada entiti telekomunikasi tradisional kepada syarikat berteraskan teknologi mencerminkan hala tuju baharu industri, dengan infrastruktur gentian sebagai asas kepada pembangunan perkhidmatan inovatif.
Menurutnya, syarikat telekomunikasi perlu memahami keperluan pelanggan serta kehendak industri bagi membangunkan perkhidmatan yang relevan, selari dengan perubahan gaya hidup dan permintaan pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata pelaksanaan 5G di Malaysia menunjukkan kemajuan memberangsangkan selepas peralihan daripada model rangkaian borong tunggal kepada pendekatan rangkaian dwi yang menggalakkan persaingan sihat serta memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna.
Setakat ini, rangkaian 5G pertama telah mencapai lebih 82 peratus liputan kawasan berpenduduk, manakala rangkaian kedua oleh U Mobile merekodkan kira-kira 57 peratus liputan dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Beliau berkata, dengan kebanyakan infrastruktur dikongsi, persaingan industri pada masa hadapan akan lebih tertumpu kepada inovasi, kualiti perkhidmatan serta aplikasi yang memanfaatkan sepenuhnya keupayaan teknologi 5G.
Menurut Fahmi, dianggarkan sekitar 60 peratus daripada 45 juta akaun mudah alih di Malaysia kini menggunakan perkhidmatan 5G, satu pencapaian yang jauh lebih pantas berbanding beberapa negara maju lain.
“Malaysia kini memiliki antara kelajuan internet terpantas di rantau ini dan kos yang kompetitif di peringkat global, sekali gus menjadikan negara ini antara masyarakat paling terhubung secara digital,” katanya.
Beliau menambah, tahap penggunaan aplikasi digital seperti WhatsApp yang melebihi 94 peratus mencerminkan tahap literasi dan keterhubungan digital rakyat Malaysia yang tinggi.