Masalah yang berasal daripada alat kimpalan yang tidak ditentukur (calibrate) dengan betul telah dikenalpasti sebagai punca kegagalan gearbox belakang kereta Chery Omoda 5 baru-baru ini.
Menurut laporan rasmi Chery Auto Malaysia (CAM), penyiasatan yang dilakukan oleh CAM dan ibu syarikat mereka menunjukkan bahawa kejadian tersebut berlaku apabila vendor menukar hujung alat pengimpal automatik yang sudah haus kepada yang baru, tetapi tidak ditentukur dengan betul.
Sebanyak 60 buah kereta model Omoda 5 yang dikeluarkan pada 15 Ogos 2023 dan dipasang dengan komponen yang bermasalah telah dikenal pasti berada di Malaysia.
Bagaimanapun, CAM telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memanggil semula 600 unit Omoda 5 melalui satu kempen servis khas untuk memeriksa kereta-kereta yang dipasang dengan gandar-gandar yang dihasilkan antara 14 hingga 17 Ogos 2023.
CAM juga menyediakan satu laman web bagi pemilik Chery Omoda 5 untuk memeriksa sama ada kereta mereka terlibat atau tidak.
Yang diperlukan hanyalah pemilik memasukkan nombor casis kenderaan mereka (VIN) ke dalam laman web yang disediakan di bawah ini.
Pautan: https://www.chery.my/chery-product-update
Sehingga semalam, CAM juga berjaya menghubungi 32 dari 60 pemilik yang terlibat sepenuhnya.
CAM akan mengumumkan peringatan kempen itu setiap minggu dengan berkongsi bilangan kereta yang sudah diperbaiki dengan komponen yang terbabit.
Untuk maklumat lanjut, hubungi talian Chery Malaysia Customer Careline di +603 – 2771 7070 (Isnin – Jumaat, 8.30 pagi – 5.30 petang).
Baca:
Bergelut dengan cuaca panas terik di Kelantan, individu terpaksa gali lumpur & buang selut
Lagi kes babitkan pemain bola, Faisal Halim disimbah asid ketika main ‘go cart’