Jangan Buat Pembelian Panik, Bekalan Beras Negara Stabil – Mat Sabu

Oleh Hazril Abdul

SRI AMAN, 9 Apr – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli beras secara berlebihan melebihi keperluan bulanan kerana bekalan makanan ruji itu di negara ini kekal mencukupi dan stabil.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, berkata pembelian panik susulan kebimbangan terhadap krisis di Asia Barat boleh mencetuskan persepsi salah seolah-olah berlaku kekurangan bekalan di pasaran.

Menurut beliau, tindakan membeli secara berlebihan bukan sahaja tidak perlu, malah berpotensi mengganggu kestabilan pasaran dan membuka ruang kepada kenaikan harga oleh pihak tertentu.

“Jika kebiasaannya kita menggunakan dua kampit beras sebulan, kekalkan jumlah itu. Jangan beli sehingga empat atau lima kampit kerana ia boleh menjejaskan bekalan di pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Program Gelombang Padi Sarawak: SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) dan Hari Bersama Pelanggan IADA Batang Lupar 2026 di Dewan Nangkai, Stumbin, di sini.

Dalam masa sama, Mohamad memberi jaminan bahawa bekalan beras negara dijangka kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini.

“Beras kita insya-Allah tidak ada masalah sekurang-kurangnya hingga hujung tahun ini dengan harga semasa. Jadi saya ingin tegaskan sekali lagi, tidak perlu ada pembelian panik,” katanya.

Kerajaan, tambah beliau, akan terus memantau rapi kedudukan bekalan makanan negara bagi memastikan keterjaminan makanan rakyat sentiasa terpelihara.